PUTRAJAYA: Jumlah ditahan ingkar prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada Tahun Baharu Cina semalam terus naik untuk dua hari berturut-turut.
Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, seramai 759 individu diberkas berbanding 680 individu kelmarin dan hanya 575 individu pada sehari sebelum itu.
Kesemua dicekup Task Force Operasi Pematuhan diketuai polis yang melakukan sebanyak 64,379 pemeriksaan dan melibatkan penugasan sejumlah 3,009 pasukan di seluruh negara.
“Daripada jumlah mereka yang ditahan tersebut, seramai 715 individu dikenakan kompaun manakala baki 44 lagi direman,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Jelasnya, kesalahan tertinggi ialah rentas kawasan tanpa izin (203), tidak patuh jarak fizikal (167), tidak memakai pelitup muka (117) dan keluar rumah tanpa alasan yang munasabah (84).
Selain itu gagal sedia alat rekod butiran (57), bawa penumpang berlebihan dalam kereta (22), operasi premis lebih masa atau tanpa kebenaran (12), aktiviti pusat hiburan (8) dan lain-lain (89).
Beliau menambah, 13,910 anggota memantau sejumlah 6,108 restoran, 4,008 pasar raya, 3,814 bank, 2,706 penjaja, 1,649 kilang dan 752 buah pejabat kerajaan.
Katanya, turut dipantau 1,087 buah terminal pengangkutan darat, 266 terminal pengangkutan air dan 71 terminal pengangkutan udara di seluruh negara.
Seramai 36 pendatang asing tanpa izin juga ditahan semalam melalui Operasi Benteng meliputi pelbagai agensi bagi mengekang jenayah rentas sempadan dan penularan Covid-19.
“Empat kenderaan darat dan sebuah bot disita manakala 531 sekatan jalan raya dibuat selain pengesanan 110 bot dicurigai dekat perairan negara melalui lapan aktiviti penglihatan,” katanya.
Ismail Sabri berkata, sejumlah 86 operasi sanitasi awam juga dibuat yang meliputi sebanyak 39 zon merah selain tiga zon jingga, tujuh zon kuning dan satu zon hijau.
Menyentuh kuarantin wajib, seramai 623 individu tiba di tanah air semalam dengan kesemuanya diarah menjalani proses mandatori itu di sejumlah stesen kuarantin.
“Sejumlah 120,500 individu pulang ke negara ini sejak 24 Julai lalu melalui kuarantin wajib di 73 buah hotel serta 12 institusi latihan awam dan swasta seluruh negara,” katanya.
Seramai 551 individu terbabit telah dibawa ke hospital untuk menerima rawatan manakala 114,259 individu lagi sudah dibenarkan balik ke rumah masing-masing selepas kuarantin.
Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna pula membuat pemantauan 11 jenis bekalan barang di 513 peruncit, 152 pemborong dan 31 pengilang.
Penguat kuasa kementerian tersebut juga melakukan 1,825 pemeriksaan khas pematuhan SOP dengan kesemua premis terbabit didapati mematuhi peraturan ditetapkan.
Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan membuat pemeriksaan di sejumlah tapak binaan seluruh negara semalam dengan kesemua premis didapati tidak pula beroperasi.