PUTRAJAYA: Jumlah pesalah ingkar prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di seluruh negara semalam kembali naik setelah dua hari catat kejatuhan.
Menteri Kanan Keselamatan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, 460 ditahan semalam berbanding hanya 253 yang diberkas kelmarin dan 321 yang berjaya dicekup pada Isnin lalu.
“Daripada jumlah itu, 388 dikompaun, 70 lagi direman dan dua dijamin dengan kes tertinggi ialah gagal sedia alat rekod butiran diri sebanyak 135,” katanya pada sidang akhbar hari ini.
Diikuti gagal jarak fizikal (109), merentas kawasan tanpa kebenaran (68), tiada pelitup muka (63), aktiviti pelacuran (20), premis dibuka lebih masa (20), pusat hiburan (12) dan lain-lain (33).
Kesemua dicekup Task Force Operasi Pematuhan diketuai polis yang melakukan sebanyak 68,199 pemeriksaan dan melibatkan penugasan sejumlah 3,537 pasukan di seluruh negara.
Ismail Sabri menambah, 15,270 anggota itu semalam memantau 6,136 restoran, 4,527 pasar raya, 3,833 bank, 3,438 rumah ibadah, 2,656 penjaja, 2,019 pasar awam dan 1,580 kilang.
Turut dipantau tambah beliau lagi, ialah sebanyak 1,583 tempat riadah serta 966 buah pejabat kerajaan selain sejumlah terminal pengangkutan darat, air dan udara di seluruh negara.
Seramai 23 pendatang asing tanpa izin (PATI) dan dua tekong juga ditahan semalam melalui Operasi Benteng bagi mengekang jenayah rentas sempadan dan penularan wabak Covid-19.
“Sebanyak 11 kenderaan darat juga dirampas selain 34 PATI diusir dan 125 bot atau kapal dicurigai dikesan berdekatan perairan negara menerusi lima aktiviti penglihatan,” tegas beliau.
Op Benteng itu ujar beliau lagi, turut mengadakan 466 sekatan jalan raya di seluruh negara dengan sembilan melibatkan Agensi Kawalan Sempadan (Aksem) dan 47 dilaksanakan polis.
Beliau turut memaklumkan bahawa sejumlah 104 operasi sanitasi awam dilaksanakan di negara ini semalam yang meliputi 34 zon merah, 11 zon jingga dan empat zon kuning.
Ia ujar beliau, melibatkan penugasan seramai 519 anggota bomba selain 230 anggota pihak berkuasa tempatan dan lima dari pelbagai agensi lain dengan penggunaan 91 jentera bomba.
Menyentuh isu kuarantin wajib, seramai 663 individu tiba di tanah air semalam dengan kesemuanya telah diarah untuk menjalani proses mandatori itu di sejumlah stesen kuarantin.
“Sejumlah 7,753 individu terbabit masih lagi menjalani proses kuarantin wajib di sebanyak 77 buah hotel serta 13 institusi latihan awam dan swasta seluruh negara,” kata Ismail Sabri.
Seramai 701 individu terbabit telah dibawa ke hospital untuk menerima rawatan manakala 121,881 individu lagi sudah dibenarkan balik ke rumah masing-masing selepas kuarantin.
Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna pula semalam membuat pemantauan 11 jenis bekalan barang di 560 peruncit, 165 pemborong dan 31 pengilang.
Penguat kuasa kementerian itu katanya, juga melakukan 1,743 pemeriksaan khas pematuhan SOP dengan cuma empat premis diberi nasihat kerana didapati kurang mematuhi peraturan. – UTUSAN ONLINE