Pertuduhan terhadap Abdul Azeez cacat, tidak berasas dan berniat jahat - peguam - Utusan Malaysia

Pertuduhan terhadap Abdul Azeez cacat, tidak berasas dan berniat jahat – peguam

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini hari ini diberitahu, 13 pertuduhan rasuah dan pengubahan wang haram yang dikemukakan terhadap bekas Pengerusi Tabung Haji, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul
Rahim adalah cacat, tidak berasas dan berniat jahat (mala fide).

Peguam Amer Hamzah Arshad yang mewakili Abdul Azeez berhujah, pertuduhan berkaitan projek jalan raya di Perak dan Kedah itu sebaliknya bertujuan untuk merosakkan reputasi anak guamnya selaku ahli parlimen.

Beliau berhujah, ketika siasatan dijalankan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), anak guamnya dibawa mengunjungi beberapa tempat bagi membantu siasatan berhubung isu penyelewengan wang
Tabung Haji.

Bagaimanapun, hujah Amer Hamzah, tiada satupun elemen pertuduhan yang dirangka terhadap tertuduh melibatkan Tabung Haji, sebaliknya ia berkaitan projek jalan raya.

Beliau turut berhujah, intipati pertuduhan yang dikemukakan terhadap tertuduh berkaitan empat projek berasingan, sepatutnya diasingkan dalam pertuduhan berlainan.

Amer Hamzah menghujahkan, pertuduhan itu juga perlu dijelaskan dengan memasukkan intipati bagaimana kesalahan itu dilakukan, yang mana perkara itu tidak dilakukan ketika pertuduhan dirangka.

Hujah beliau, setiap pertuduhan harus memasukkan tarikh kejadian dan mengenal pasti tempat yang spesifik kerana setiap kesalahan itu berdiri sendiri.

Sebaliknya, pertuduhan hanya menyatakan tempat kejadian sekitar Lembah Klang dan ketidaktentuan tersebut boleh menimbulkan isu bidang kuasa yang dikhuatiri boleh memprejudiskan Abdul Azeez.

Hujah peguam bela, Mahkamah Tinggi mempunyai bidang kuasa sedia ada untuk membatalkan pertuduhan yang tidak berasas berdasarkan kepada merit kes.

Sehubungan itu, pihak pembelaan memohon agar kesemua pertuduhan yang dikemukakan terhadap Abdul Azeez dibatalkan dan tertuduh dilepas dan dibebaskan.

Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya Aslinda Ahad berhujah, permohonan tersebut tidak wajar dilayan dan perlu ditolak pada peringkat ini kerana ia bersifat pramatang.

Aslinda menyatakan, hujah pembelaan hari ini menunjukkan seolah-olah mahkamah telah selesai mendengar keterangan semua saksi pada akhir kes pendakwaan, sedangkan perbicaraan masih berjalan dan baru mendengar
keterangan lima saksi.

Hujah pendakwaan, pertuduhan yang dikemukakan tidak memprejudiskan Abdul Azeez kerana tertuduh masih boleh mencabar saksi-saksi ketika perbicaraan.

Berkenaan isu empat projek yang didakwa berasingan oleh pihak pembelaan, Aslinda berhujah, hanya satu projek dikenalpasti tetapi melibatkan fasa berbeza.

Hujah Aslinda, mahkamah mempunyai bidang kuasa sedia untuk mendengar dan memutuskan permohonan itu jika berlaku salah laksana keadilan terhadap tertuduh, yang mana perkara itu tidak berlaku.

Hakim Datuk Muhammad Jamil Hussin menetapkan 12 Mac ini bagi keputusan sama ada untuk membenarkan atau menolak permohonan tersebut.

Ahli Parlimen Baling itu menghadapi tiga pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM5.2 juta berkaitan projek berkenaan serta 10 pertuduhan penggubahan wang haram melibatkan hampir RM140 juta.

Pertuduhan rasuah itu didakwa dilakukan di Bank CIMB cawangan Menara UAB, Jalan Tun Perak, di sini pada 8 Disember 2010, dan di Affin Bank Berhad, Setiawalk, Persiaran Wawasan, Pusat Bandar Puchong, Selangor
pada 13 Jun 2017 dan 10 April 2018.

Bagi pertuduhan pengubahan wang haram, Abdul Azeez didakwa melakukan kesalahan itu di Lembah Klang antara 8 Mac 2010 dan 30 Ogos 2018.- UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya