IPOH: Lanjutan tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 2.0 selama 14 hari lagi memberi impak negatif kepada semua yang terlibat dalam sektor ekonomi kedai aksesori filem penapis haba atau tinted dan cuci kereta.
Pengarah Urusan TMK Industries dan UV Kool Tint Specialist, Mohd. Fadzli Che Harun berkata, ia berikutan larangan beroperasi sepanjang tempoh itu memberi kesan kepada pendapatan mereka yang bergantung kepada operasi harian.
Justeru itu katanya, kerajaan diminta agar mempertimbangkan untuk membenarkan operasi kedua-dua perniagaan itu sepanjang PKP 2.0 dikuatkuasakan.
“Pengusaha kedai-kedai ‘tinted’ dan cuci kereta ini baru sahaja mahu bernafas semula, mereka baharu bangkit selepas PKP Mac tahun lalu.
“Kini, sekali lagi mereka terpaksa melalui situasi sama iaitu kedai tinted dan cuci kereta tidak dibenarkan beroperasi sedangkan ia juga sebenarnya satu keperluan,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Menurut Mohd. Fadzli, larangan beroperasi menyebabkan mereka terpaksa menanggung kerugian kerana masih perlu membayar kos termasuk sewaan premis dan gaji pekerja sedangkan tiada aliran masuk wang ke dalam perniagaan yang diusahakan.
Katanya, kerajaan perlu menimbang semula larangan itu dan memberi kebenaran untuk mereka beroperasi walaupun disertakan dengan prosedur operasi standard (SOP) yang ketat.
“Apa yang penting beri kebenaran kami buka kedai. Kami bukan mengharapkan bantuan, cuma mahu berniaga supaya dapat menjana pendapatan sendiri. Walaupun PKP, kami yakin mampu bertahan selagi premis boleh beroperasi.
“Kami akan patuh kepada semua SOP yang ditetapkan, malah sehingga kini masih belum timbul kluster membabitkan perniagaan ini. Mereka yang hadir ke kedai pun bukannya dalam jumlah yang ramai seperti mana di pasar raya,” katanya.
Sementara itu, pengusaha kedai aksesori filem penapis haba, Mohd. Hafizee Mohd. Arop berkata, sebagai usahawan baharu, dia amat terkesan dengan tindakan penutupan ini yang sekali gus menjejaskan perniagaannya yang baru bernafas.
Menurutnya, penguatkuasaan yang dijalankan tidak diselaraskan dengan betul berikutan permohonan untuk beroperasi di dalam laman sesawang Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) diluluskan sebelum ini.
“Permohonan diluluskan tetapi pada hari pertama beroperasi pada PKP sudah diarahkan tutup oleh polis dan surat MITI langsung tidak mahu ditengok dan tidak laku sedangkan pemasangan filem penapis haba dalam kategori aksesori kereta.
“Harap ia diselaraskan dengan betul kerana kami mengikut SOP ditetapkan dan kedai seperti kami mempunyai jumlah pelanggan terhad dan tidak bersesak- sesak,” katanya.
Menurutnya, sebagai pengusaha yang terjejas, dia mengharapkan pihak kerajaan akan mengambil maklum perkara itu dan pihaknya akan mengikut segala SOP yang ditetapkan untuk beroperasi.- UTUSAN ONLINE