Persatuan tarian singa dan naga ‘pening kepala’ - Utusan Malaysia

Persatuan tarian singa dan naga ‘pening kepala’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MOHAMAD FAIZAL HASHIM (laupa)

JOHOR BAHRU: Persatuan Tarian Singa dan Naga Hong Wai Johor Bahru pening kepala apabila tidak dapat menjana pendapatan sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan bermula Mac tahun lalu.

Naib Pengerusi persatuan itu, Wong Kam Long berkata, persatuan menjana pendapatan menerusi persembahan tarian singa dan naga setiap bulan untuk menampung kos perbelanjaan bulanan.

Katanya, mereka boleh meraih pendapatan sehingga RM5,000 sebelum aktiviti persatuan ‘dibekukan’ bagi mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan demi kesihatan awam.

“Sebelum penularan pandemik Covid-19, kami menerima lebih 10 tawaran persembahan pada setiap bulan dan mampu meraih pendapatan kira-kira RM5,000.

“Namun, kini nasib kami berubah 180 darjah selepas tidak dibenarkan melakukan aktiviti itu sedangkan kami juga mempunyai tanggungjawab yang perlu dipenuhi,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Untuk rekod, Persatuan Tarian Singa dan Naga Hong Wai Johor Bahru pernah memenangi pertandingan di peringkat kebangsaan bagi kategori dram terbaik dari 2015 hingga 2017.

Malah, mereka juga pernah memenuhi jemputan sehingga ke Ipoh, Perak dan Pulau Pinang bagi membuat persembahan tarian singa dan naga bersempena Tahun Baharu Cina.

Kam Long berkata, mereka kini berdepan kesukaran untuk menampung kos yuran persatuan, gaji jurulatih serta bayaran bulan pengangkutan.

“Persembahan tarian singa dan naga cukup sinonim dengan sambutan perayaan Tahun Baharu Cina kerana tanpa tarian itu sambutan perayaan seakan hilang seri dan tidak meriah.

“Pinta kami hanya satu, diharap selepas ini aktiviti kami diberikan kelonggaran kerana kami juga perlu hidup selain persatuan terus kekal relevan,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya