Perkasakan sektor perkhidmatan kesihatan - Utusan Malaysia

Perkasakan sektor perkhidmatan kesihatan

MOHAMAD HASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Sektor perkhidmatan kesihatan awam di negara ini mesti terus diperkasakan termasuk dengan menambah bilangan kakitangan bagi menghadapi jangkaan penularan pandemik Covid-19 dalam tempoh yang lebih lama.

Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan berpandangan, walaupun program vaksinasi telah bermula, namun, masih banyak negara menghadapi kesukaran untuk mendapatkan bekalan vaksin, malah, tidak berkemampuan untuk membelinya.

Keadaan tersebut menurut beliau, menyebabkan Covid-19 akan terus menjadi ancaman keselamatan global sehinggalah semua warga dunia mendapatkan imunisasi. 

“Malaysia mesti mengambil pendekatan siap siaga terhadap senario ini. Sektor perkhidmatan kesihatan kita mesti diperkasakan dengan berganda dan tanpa berlengah.

“Perjawatan baru mesti segera di wujudkan. Permohonan perjawatan tambahan yang di kemukakan pada Oktober 2020 diharap telah diluluskan dan diisi,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohamad yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rantau menambah, petugas kesihatan kontrak dan sambilan yang ketika ini sedang berkhidmat juga wajar ditawarkan jawatan tetap dengan kadar segera. 

“Mereka telah berkhidmat di waktu yang sangat sukar dan pengalaman mereka sebagai petugas hadapan sangat berharga untuk memperkuatkan sistem kesihatan awam kita.

“Petugas ini telah melaksanakan tugas patriotik mereka kepada negara dengan keringat dan pengorbanan tertinggi, walaupun tanpa jaminan pekerjaan tetap, justeru, menyerapkan mereka ke perjawatan tetap adalah sangat bertepatan dengan kompetensi, jasa dan sumbangan mereka,” katanya.

Tambahnya, sukarelawan yang terdiri daripada pesara dan pelbagai segmen masyarakat yang lain pula mesti terus dilatih dan berada dalam pengkalan data Kementerian Kesihatan agar boleh digerakkan segera dalam keadaan yang genting dan kritikal.

“Sistem kesihatan kita telah berfungsi dengan baik di sebalik segala tekanan luar jangkaan kerana merebaknya wabak ini. Semua ini kerana dedikasi dan kerja keras semua petugas kesihatan, samada tetap, kontrak dan sukarelawan, sumbangan mereka sangat luar biasa.

“Tugas seterusnya ialah memperkuatkan sistem kita dengan menambah dan mengisi segala keperluan perjawatan, membawa bakat terbaik menyertai Kementerian Kesihatan, latihan berterusan bagi membangun kompetensi petugas kesihatan dan menyediakan kemudahan kesihatan komprehensif yang lebih banyak,” katanya. -UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya