Periksa 202 premis, lima kompaun dikeluarkan - Utusan Malaysia

Periksa 202 premis, lima kompaun dikeluarkan

ANGGOTA KPDNHEP melakukan pemeriksaan dan kompaun di premis-premis sekitar Perlis yang gagal mematuhi SOP PKP di Kangar, Perlis hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR : Sebanyak 202 premis telah diperiksa dengan lima kompaun dikeluarkan berikutan kegagalan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) sepanjang tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di sekitar negeri ini.

Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) negeri, Norazah Jaapar berkata, kompaun tersebut dikeluarkan di bawah Peraturan 15, Peraturan-Peraturan Pencegahan Dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) (Kawalan Pergerakan) 2021.

Katanya, ia membabitkan kesalahan tidak memakai pelitup muka dan gagal menggunakan Aplikasi MySejahtera atau mencatatkan nama atau nombor telefon sebelum memasuki premis.

Katanya, empat kompaun dikeluarkan di kawasan Kangar manakala satu di Arau.

“Penguatkuasaan ini adalah setelah diberi kuasa berpandukan tiga aspek mengikut Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Pengkompaunan Kesalahan-Kesalahan) (Pindaan) (2011) (2012) dan (No.8) Akta Pencegahan Dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342)

“Kementerian telah menggerakkan gerak kerja untuk melaksanakan penguatkuasaan dan kompaun di bawah akta ini dengan menetapkan sekiranya berlaku ketidakpatuhan SOP, kompaun sebanyak RM1,000 boleh dikenakan,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Sementara itu, Norazah berkata, pihaknya menasihati dan memberi peringatan kepada semua pihak agar bekerjasama dalam memastikan SOP sentiasa dipatuhi bagi mengekang penularan Covid-19.

“Peluang pembukaan aktiviti ekonomi di bawah sektor pengedaran perdagangan perlu seiring dengan pematuhan SOP. Justeru, ia akan dapat mengimbangi keperluan diantara kelangsungan ekonomi negara sekali gus mengawal penularan Covid-19,” ujarnya.

Tambah beliau, pengguna boleh melaporkan dan menyalurkan sebarang aduan yang berkaitan dengan bidang kuasa di bawah KPDNHEP melalui saluran disediakan  seperti di talian 1-800-886-800 atau media sosial  Twitter dan Facebook kementerian. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN