KOTA BHARU: Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) mengakui pendaratan hasil perikanan negara berkurangan sehingga 20 peratus tahun ini berbanding tempoh sama tahun lalu.
Bagaimanapun Ketua Pengarahnya, Datuk Othman Abdul Latiff memberi jaminan industri perikanan tidak akan lumpuh, malah bekalan ikan masih mencukupi bagi memenuhi keperluan domestik.
“Sehingga kini sebanyak 48 Kompleks Perikanan LKIM aktif beroperasi bagi tujuan kemudahan pendaratan, pengendalian, penyimpanan dan pemasaran ikan secara bersepadu kepada pengguna.
“Di Kelantan, terdapat empat kompleks masih aktif beroperasi, antaranya Tok Bali yang memainkan peranan penting dalam pemusatan pendaratan ikan serta pembangunan industri perikanan di Pasir Puteh,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Othman memberitahu berdasarkan rekod Jabatan Perikanan Negeri Kelantan, jumlah bot merangkumi semua zon iaitu A, B, C dan C2 yang beroperasi di Tok Bali pada tahun ini adalah 185 buah, berbanding 405 buah pada 2017.
Rekod itu menunjukkan pengurangan ketara bot jenis laut dalam apabila hanya terdapat 69 bot kategori C2 dan 22 bot kategori C pada tahun ini berbanding 250 bot C2 serta 36 bot C pada 2017.
“Bilangan vesel berkurang kerana bermula 2018, Jabatan Perikanan melakukan ‘pemutihan’, iaitu mana-mana vesel yang tidak memenuhi Laporan Operasi Vesel (LOV) tidak dibenarkan untuk memperbaharui lesen.
“Ia bagi memastikan hanya operator tulen sahaja yang beroperasi di perairan negara selain memantau aktiviti vesel perikanan laut dalam,” katanya.
Selain itu katanya, penurunan tersebut disebabkan langkah-langkah diambil oleh kerajaan bagi mengekang penularan wabak Covid-19 sejak Mac lalu termasuk tidak membenarkan aktiviti rentas sempadan negara.
“Ini telah menyebabkan kru dan tekong asing yang berhasrat memasuki negara ini telah dikenakan syarat supaya melakukan saringan Covid-19 dan kuarantin terlebih dahulu,” katanya,
Untuk rekod dalam tempoh lima tahun bermula 2016 hingga 2020, jumlah pendaratan hasil perikanan negara adalah sebanyak 196,316.07 metrik tan dengan nilai RM531 juta.
Pada 2016, hasil perikanan negara direkodkan bernilai RM104 juta manakala pada 2017, hasilnya meningkat kepada RM120 juta sebelum berkurangan kepada RM102 juta pada 2018.
Pada 2019, hasil perikanan negara direkodkan bernilai RM112 juta namun berkurangan mendadak kepada RM92 juta sepanjang tahun lalu, susulan penularan pandemik di seluruh dunia. – UTUSAN ONLINE