Peranti PdPR: Sumbangan NGO dialu-alukan - Utusan Malaysia

Peranti PdPR: Sumbangan NGO dialu-alukan

MD. Fiah Md. Jamin (empat dari kiri) menyerahkan sumbangan peranti daripada NGO Briged Negaraku kepada Nur Syafiqah Abdul Razak di Lenggeng, Seremban hari ini.-UTUSAN/ZAKKINA WATI AHMAD TARMIZI.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Pemberian alat peranti yang disumbangkan mana-mana pihak termasuk daripada pertubuhan bukan kerajaan (NGO) untuk kegunaan pelajar dari kategori berpendapatan rendah (B40) bagi mengikuti proses Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) adalah amat dialu-alukan.

Pengarah Pendidikan Negeri Sembilan, Md. Fiah Md. Jamin berkata, pihaknya sememangnya tiada peruntukan untuk pelajar bagi tujuan berkenaan.

“Pihak jabatan tiada dana, cuma, kami mengalu-alukan bantuan dari pihak lain termasuk mana-mana NGO. Malah, kami akan memberikan maklumat berhubung golongan sasar supaya bantuan dapat diberikan kepada pelajar yang benar-benar memerlukan.

“Setakat ini, kami tiada masalah untuk bekerjasama dengan mana-mana NGO,” katanya dalam sidang akhbar selepas menyempurnakan Majlis Penyerahan tablet komputer untuk pelajar B40 di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Dato Klana Putra, Lenggeng dekat sini hari ini.

Sebanyak 15 peranti diberikan oleh NGO Briged Negaraku melalui sumbangan sebuah pasar raya di Bintulu, Sarawak yang mahu membantu pelajar yang memerlukan di negeri ini. 

Dalam pada itu, menurut Md. Fiah, dia  memahami kesukaran pelajar menghadapi PdPR, namun, pihaknya termasuk guru-guru akan bertungkus lumus memastikan pelajar-pelajar di negeri ini tidak tercicir semasa sesi PdPR berkenaan. 

“Kami mengetahui semasa PdPR secara dalam talian ini, ada pelajar yang menggunakan peranti manakala ada pelajar juga melakukan tugasan melalui sebaran bahan-bahan yang diberikan oleh guru-guru, malah ada juga yang menjadikan tempat-tempat awam untuk mendapatkan talian internet. 

“Kami akan mencuba sedaya upaya, termasuk guru-guru dan kami mendapati guru-guru sangat kreatif bukan sahaja semasa waktu sekolah, malah, ada guru yang melakukan PdPR pada waktu malam dan pada hujung minggu kerana mereka rasa bertanggungjawab terhadap pelajar-pelajar terbabit,” katanya. 

Sementara itu, seorang pelajar tingkatan lima yang menerima bantuan tersebut, Nur Syafiqah Abdul Razak, 17, berkata, dia amat terharu apabila menerima peranti berkenaan kerana dia sebelum ini terpaksa berkongsi komputer riba bersama kakaknya yang menuntut di institut pengajian tinggi (IPT). 

“Alhamdullilah, saya berterima kasih kepada semua pihak yang membantu memberikan peranti untuk saya belajar. 

“Saya amat terharu dan saya menganggap ini sebagai pembakar semangat untuk saya mendapat keputusan cemerlang dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun ini,” katanya yang merupakan anak ketujuh daripada sembilan adik-beradik. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN