Penyelenggara penyaman udara maut terjatuh dari tingkat 3 bangunan - Utusan Malaysia

Penyelenggara penyaman udara maut terjatuh dari tingkat 3 bangunan

SEORANG duda menemui ajal selepas terjatuh dari tingkat sembilan dalam kejadian di Blok D PPR Krubong, Melaka.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEPANG: Seorang penyelenggara dan pemasangan penyaman udara maut akibat terjatuh dari tingkat tiga bangunan ketika memulakan kerja-kerja pemasangan di Blok B, Kondominium Nilam Puri, Jalan Bukit Puchong, Bandar Bukit Puchong 2, Isnin lalu.

Dalam kejadian pukul 1.19 petang itu, mangsa berusia 50-an, mengalami kecederaan teruk pada bahagian kepala dan tangan selepas terjatuh pada ketinggian 40 kaki dan meninggal dunia di tempat kejadian.

Timbalan Ketua Polis Daerah Sepang, Superintenden Md. Noor Aehwan berkata, sebelum kejadian berlaku, mangsa bersama adik kembarnya sedang bekerja memasang dan membuka penyaman udara di tempat kejadian.

“Apabila sampai di alamat tempat kerja, mangsa dan adiknya memulakan kerja-kerja pemasangan dan membuka penyaman udara dan kemudian mangsa telah keluar daripada tingkap bilik utama untuk membuka unit penyaman udara yang lama untuk digantikan dengan yang baru.

“Setelah mangsa berada di luar tingkap lebih kurang 10 minit, adik mangsa terdengar jeritan abangnya yang berada diluar tingkap dan adik mangsa terus pergi melihat dalam bilik utama sebelum mendapati abangnya jatuh daripada bangunan tersebut dengan ketinggian lebih kurang 40 kaki.

“Adik mangsa kemudiannya bergegas turun ke tingkat bawah dan dapati abangnya terlentang di tingkat bawah dalam keadaan berlumuran darah sebelum menghubungi hospital,” katanya menerusi kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata, daripada hasil pemeriksaan pada badan mangsa mendapati terdapat kecederaan di bahagian kepala dan tangan kanan disyaki patah.

“Keadaan tempat mangsa terjatuh adalah di tingkat bawah bangunan rumah di mana lantai tanah adalah susunan batu bata yang kemas,” katanya.

Noor Aehwan berkata, berdasarkan siasatan lanjut, mangsa tiada mempunyai sebarang penyakit dan masih bujang.

“Mangsa yang tinggal di Taman Putra Prima Puchong dan menyewa rumah bersama adiknya telah berniaga dalam bidang penyelengaraan penyaman udara lebih kurang 30 tahun,” katanya.

Katanya, mayat mangsa dihantar ke forensik Hospital Serdang dan daripada hasil bedah siasat mengesahkan kematian disebabkan kecederaan pelbagai pada anggota badan.

“Kes diklasifikasikan sebagai kematian mengejut,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN