Penternak ikan keli buang telur busuk, darah ayam dikompaun - Utusan Malaysia

Penternak ikan keli buang telur busuk, darah ayam dikompaun

NORHIZAM Hassan Baktee (kanan) dan Faizah Abdul Rahman ketika sidang akhbar berkenaan sebuah syarikat penternakan ikan keli di Kompleks Japerun Pengkalan Baru, Melaka. - UTUSAN/DIYANATUL ATIQAH ZAKARYA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

DIYANATUL ATIQAH ZAKARYA (laupa)

MELAKA: Badan Kawal Seliar Air (BKSA) Melaka mengambil tindakan tegas dengan mengkompaun sebuah syarikat penternakan ikan keli dengan nilai RM12,000.

Ia susulan tindakan tidak bertanggungjawab syarikat yang beroperasi di Masjid Tanah, dekat sini melepaskan sisa kolam ternakan ikan yang berbau seperti telur busuk dan darah ayam ke sebatang sungai.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Penternakan, Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Norhizam Hassan Baktee berkata, serbuan dilakukan sepasukan penguatkuasa semalam, hasil aduan yang dibuat oleh orang ramai kerana sungai di kawasan itu tiba-tiba mengeluarkan bau busuk sehingga ke pekan.

“Hasil pemeriksaan dijalankan mendapati pihak syarikat telah dengan cuai melepaskan sisa kolam ikan keli tersebut ke sebatang sungai berhampiran.

“Difahamkan sisa kolam tersebut berbau kuat ekoran pengusaha telah menggunakan telur busuk dan darah ayam sebagai makanan ikan dalam kolam berkenaan.

“Disebabkan itu, syarikat terbabit telah dikenakan kompaun sebanyak RM12,000 bagi kesalahan pertama,” katanya ketika sidang akhbar di Kompleks Jawatankuasa Pembangunan dan Penyelarasan Dewan Undangan Negeri (Japerun) Pengkalan Batu di sini, hari ini.

Yang turut hadir Pengarah BKSA, Faizah Abdul Rahman.

Tambah Norhizam lagi, tindakan kompaun itu dibuat mengikut peruntukan di bawah Seksyen 39 (A) Enakmen Sumber Air (Negeri Melaka).

Mengulas lanjut, beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pengkalan Batu berkata, kerajaan negeri tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang didapati melakukan kesalahan tersebut, apatah lagi membabitkan pencemaran sumber air negeri.

“Kita akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pengusaha atau usahawan di negeri ini sekiranya mendapati dengan sengaja menyebabkan pencemaran air dan alam sekitar.

“Saya juga menyeru kepada orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai pencemaran sungai untuk membuat laporan kepada pihak BKSA atau pihak bertanggungjawab yang lain,” tegasnya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN