SHAH ALAM: Mahkamah Majistret hari ini membenarkan seorang penolong pegawai pejabat tanah daerah direman empat hari bagi membantu siasatan meminta dan menerima suapan keseluruhan RM28,000 berhubung kelulusan permohonan tanah di Rawang antara tahun lalu dan awal Januari ini.
Perintah reman itu dikeluarkan Timbalan Pendaftar Mahkamah Tinggi, Norliza Hussin terhadap suspek berusia 45 tahun itu bermula hari ini.
Suspek dipercayai meminta dan menerima suapan kelulusan permohonan tanah bagi pembinaan rumah dan kerja tanah serta parit bangunan tiga tingkat.
Menurut sumber, suspek yang telah bekerja selama 20 tahun itu meminta dan menerima suapan berjumlah RM28,000 daripada dua kontraktor berusia 40-an dan 50-an.
“Siasatan awal mendapati suspek telah meminta RM20,000 bagi permohonan kerja tanah, jalan dan parit bagi bangunan tiga tingkat meliputi pejabat dan kedai.
“Suspek dikatakan telah menerima RM10,000 daripada seorang kontraktor sebagai pendahuluan manakala bayaran selebihnya selepas mendapat kelulusan permohonan tersebut,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Kata sumber lagi, suspek turut meminta RM8,000 daripada seorang lagi kontraktor bagi kelulusan membina rumah.
“Kontraktor terbabit pernah memohon untuk perkara sama pada 2016 namun ditolak sebelum membuat permohonan baharu pada tahun lalu.
“Oleh demikian, suspek telah ditahan pukul 3.45 petang semalam selepas hadir memberikan keterangan di Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) Selangor,” ujarnya.
Terdahulu, suspek yang memakai baju lokap SPRM tiba kira-kira pukul 10 pagi dengan bergari dan dikawal pegawai penguatkuasa tersebut.
Sementara itu, Pengarah SPRM negeri, Datuk Alias Salim ketika dihubungi mengesahkan tangkapan dan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009. -UTUSAN ONLINE