Penjara, kompaun lebih tinggi langgar SOP - Utusan Malaysia

Penjara, kompaun lebih tinggi langgar SOP

Pihak berkuasa memantau pematuhan SOP -GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Mana-mana individu yang didapati melanggar peraturan prosedur operasi standard (SOP) bagi menangani penularan jangkitan Covid-19 bakal berdepan tindakan penjara.

Menegaskan perkara itu, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, ini termasuk dikenakan tindakan kompaun lebih tinggi kepada pesalah berulang atau pesalah yang telah diberi amaran.

Menurut beliau, Jawatankuasa Teknikal Pengurusan Darurat telah meneliti peruntukan dalam Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342) yang perlu dipinda untuk membolehkan tindakan penguatkuasaan lebih tegas dan cepat diambil bagi memastikan pematuhan kepada SOP.

“Antaranya tindakan penguatkuasaan lain ialah arahan penutupan serta merta premis perniagaan yang tidak mematuhi peraturan dan SOP yang ditetapkan kerajaan.

“Tindakan perundangan terhadap pemilik perniagaan, pemegang francais, operator francais dan pihak berkepentingan lain dalam rantaian organisasi perniagaan.

“Selain itu tindakan perundangan terhadap rantaian pengurusan pekerja asing meliputi majikan, ejen pembekal pekerja, kontraktor utama, sub-kontraktor dan orang perseorangan,” katanya dalam perutusan khas hari ini.

Perdana Menteri berkata, tindakan tatatertib ke atas penjawat awam juga boleh dikenakan kerana tidak mematuhi peraturan dan SOP termasuk kepada Ketua Jabatan berkaitan pelaksanaan Dasar Bekerja Dari Rumah.

Jelas beliau, Akta Standard Minimum Perumahan, Penginapan dan Kemudahan Pekerja 1990 (Akta 446) turut diperkukuhkan memandangkan penginapan pekerja asing yang sesak dan tidak memenuhi standard menjadi antara punca utama penularan Covid-19 dalam kalangan pekerja di negara ini.

Menurut Perdana Menteri, sehingga 3 Februari lalu, sektor pengilangan merekodkan jumlah kluster Covid-19 yang tertinggi iaitu 128 kluster, diikuti sektor pembinaan sebanyak 82 kluster dan sektor perkhidmatan sebanyak 61 kluster.

“Menerusi kuasa yang diberikan kepada kerajaan di bawah Proklamasi Darurat, kerajaan sedang dalam proses untuk meminda Akta 446 itu bagi tujuan menangani isu-isu pengurusan tempat tinggal pekerja menerusi tindakan penguatkuasaan yang lebih tegas.

“Antaranya ialah mewajibkan majikan untuk menyediakan tempat tinggal yang memenuhi standard yang ditetapkan, menanggung kos penginapan, perpindahan dan kos saringan kesihatan pekerja, melaksanakan tindakan pemantauan ke atas pekerja asing sewaktu bekerja di premis pekerjaan dan selepas waktu bekerja di tempat tinggal.

“Memastikan agen pusat penginapan pekerja menyediakan tempat tinggal pekerja yang memenuhi syarat dan standard kesihatan awam yang ditetapkan kerajaan,” katanya.

Perdana Menteri berkata, Kementerian Sumber Manusia akan mengetuai Pasukan Petugas Pengurusan Penginapan Pekerja yang akan mempunyai bidang kuasa lebih besar dan menyeluruh menerusi pindaan Akta Standard Minimum Perumahan, Penginapan dan Kemudahan Pekerja 1990.

Dalam pada itu, Muhyiddin menjelaskan, menerusi Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) 2021, kerajaan juga melaksanakan proses penempatan semula sumber manusia, aset dan perkhidmatan sektor awam bagi tujuan mempertingkatkan keupayaan kementerian dan agensi tunjang yang mengurus situasi pandemik Covid-19.

Katanya, ini membolehkan petugas-petugas barisan hadapan di agensi kesihatan dan bukan kesihatan dapat dibantu oleh warga kerja tambahan dari kementerian dan agensi lain.

“Dengan menggunakan sumber sedia ada, kerajaan dapat mengoptimumkan mobilisasi petugas, aset dan kepakaran tambahan dalam mengurus situasi pandemik.

“Seramai 20,000 penjawat awam terlibat dalam inisiatif ini yang diurus oleh Jabatan Perkhidmatan Awam. Inisiatif ini tidak melibatkan sebarang pertambahan kos operasi kerajaan,” katanya.- UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya