JOHOR BAHRU: Pengusaha bas dan van sekolah yang sedia terkesan dengan pandemik Covid-19 menyuarakan kebimbangan pendapatan mereka akan terjejas apabila tidak sampai 50 peratus ibu bapa kembali menggunakan perkhidmatan mereka bermula 1 Mac ini.
Menurut pengusaha, Saisnorfariza Isnin, 27, faktor penyebab jumlah penumpang berkurangan adalah kerana ibu bapa khuatir anak-anak mereka dijangkiti Covid-19 selain risau berhubung penjarakan fizikal di dalam bas atau van sekolah.
Bagaimanapun, mereka reda kerana ada yang masih menggunakan perkhidmatan mereka.
“Ramai ibu bapa mengambil keputusan untuk menghantar sendiri anak-anak mereka ke sekolah pada 1 Mac nanti, kami memahami situasi mereka yang bimbang akibat penularan wabak Covid-19. Jadi, kami beroperasi mengikut kemampuan sahaja.
“Cuma harap ibu bapa yakin dengan perkhidmatan kami yang mengambil inisiatif membuat sanitasi sebelum dan selepas penumpang naik untuk memastikan keselamatan anak mereka terjamin selain mengamal penjarakan fizikal dalam kenderaan,” katanya.
Saisnorfariza ditemui pemberita pada program semburan disinfeksi percuma pandu lalu bas sekolah sempena kempen Jom Cegah Covid-19 anjuran Majlis Tindakan Pengguna Negara (MTPN) di Sekolah Kebangsaan Taman Daya 2, di sini hari ini.
Justeru itu, dia berharap program disinfeksi itu dapat meningkatkan keyakinan dalam kalangan ibu bapa bagi menggunakan perkhidmatan yang disediakan.
“Memahami kesan ekonomi yang turut dirasai semua pihak, saya bersama pengusaha-pengusaha bas yang lain juga tidak bercadang menaikkan kadar tambang bas,” katanya yang mempunyai dua bas sekolah dan lima buah van.
Sementara itu, Hui Hai Lae, 35, berkata, pembukaan semula sekolah memberi sinar baharu untuknya bagi meneruskan kelangsungan perniagaan yang diusahakan keluarga sejak 30 tahun yang lalu.
Katanya, dia berharap keadaan akan kembali pulih seperti sedia kala bagi membolehkan kesemua enam bas dan empat van sekolah dapat berfungsi sepenuhnya dengan kapasiti penuh.
“Bisnes sekarang susah, ibu bapa risau untuk menggunakan khidmat kami dan akan menghantar sendiri anak ke sekolah. Walaupun ada yang gunakan khidmat kami, tapi jumlahnya tidak ramai.
“Sepanjang 30 tahun ayah saya mengendalikan perniagaan ini, ini pertama kali mengalami kesukaran yang mendesak. Harapnya keadaan Covid-19 di negara ini akan pulih segera,” katanya.
Sementara itu, Setiausaha MTPN negeri, Noorman Kamsani berkata, pihaknya memberikan perkhidmatan sanitasi van dan bas secara percuma secara pandu lalu bagi membantu pengusaha melakukan persiapan sebelum pembukaan sekolah.
Katanya, usaha itu dilakukan bagi mengembalikan semula keyakinan ibu bapa dalam menggunakan perkhidmatan van dan bas sekolah. -UTUSAN ONLINE