Penguji cerucuk dipenjara lima bulan, didenda RM51,850 - Utusan Malaysia

Penguji cerucuk dipenjara lima bulan, didenda RM51,850

MOHD. Khairul Hanis (tengah) dibawa ke Mahkamah Sesyen Shah Alam, Selangor di sini atas kesalahan memanipulasikan keputusan ujian cerucuk dan menerima rasuah berhubung pembinaan bangunan milik Majlis Daerah Kuala Langat (MDKL) tiga tahun lalu.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Pekerja syarikat swasta dipenjara lima bulan oleh Mahkamah Sesyen di sini kerana memanipulasikan keputusan ujian cerucuk dan menerima rasuah berhubung pembinaan bangunan milik Majlis Daerah Kuala Langat (MDKL) tiga tahun lalu.

Hakim Rozilah Salleh turut menjatuhkan denda sebanyak RM51,850 terhadap tertuduh, Mohd. Khairul Hanis Mohd. Fauzi,36, yang mengaku bersalah dan jika gagal membayarnya, dia dihukum dipenjara 17 bulan.

Dalam penghakimannya, Rozilah dengan tegasnya mengatakan bahawa kesalahan dilakukan bapa kepada dua anak yang berhadapan dengan lima pertuduhan itu adalah serius kerana melibatkan nyawa.

“Kelulusan berhubung ujian cerucuk memainkan peranan penting dalam memastikan sesebuah bangunan itu selamat.

“Bangunan ini tidak diteruskan pembinaannya kerana kamu telah ditahan. Cuba bayangkan hasil kelulusan Pile Integrity Test (PIT) dan Pile Dynamic Analysis (PDA) dan projek diteruskan, namun, berlaku sesuatu,”katanya.

Mengikut empat pertuduhan, tertuduh yang kini bekerja sebagai pemandu sambilan didakwa menerima rasuah RM6,170 daripada seorang lelaki merupakan pengurus projek sebuah syarikat.

Tertuduh dipercayai menerima rasuah sebagai dorongan meluluskan ujian cerucuk bagi projek cadangan membina dan menyiapkan bangunan pejabat sembilan tingkat, sebuah pondok pengawal satu tingkat, sebuah pencawang elektrik tangki air luaran dan ruang pam Air, sebuah Loji Rawatan Kumbahan di Seksyen 3, Bandar Banting, Kuala Langat dekat sini.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang boleh dihukum dibawah Seksyen 24  akta yang sama memperuntukan penjara tidak lebih 20 tahun dan didenda lima kali ganda atau RM10,000 mana-mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Manakala satu lagi pertuduhan, tertuduh yang berhenti bekerja dalam bidang pembinaan itu didakwa memperdaya syarikat sama dengan menyerahkan dokumen yang telah dimanipulasi bagi tujuan sama.

Bagi pertuduhan ini, tertuduh didakwa dibawah Seksyen 417 Kanun Keseksaan, jika sabit kesalahan boleh dipenjara tidak lebih lima tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

Bagi kesemua pertuduhan itu, tertuduh didakwa melakukannya di sebuah bank di Jalan Sultan Abdul Samad dan di Seksyen 3, Bandar Banting, Kuala Langat dekat sini antara 14 September hingga 5 November 2018.

Bagaimanapun, tertuduh yang tidak diwakili peguam memohon denda terhadapnya dikurangkan kerana hanya bekerja sebagai pemandu sambilan dan perlu menanggung dua anak yang masih bersekolah dan isteri yang tidak bekerja bersama ibu yang tinggal bersendirian.

Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Fadhli Ab. Wahab memaklumkan kesalahan dilakukan tertuduh serius dan bertanggungjawab dalam memastikan cerucuk dibina kontraktor perlu lulus ujian pertama sebelum meneruskan pembinaan selanjutnya. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN