PUTRAJAYA: Pengguna dan pemilik aplikasi Sugerbook akan diambil tindakan jika didapati melakukan aktiviti haram seperti pelacuran.
Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) menerusi kenyataan akhbar memaklumkan, pihaknya akan terus memantau dan menyiasat sekali gus tindakan lanjut membabitkan pelacuran akan dijalankan Polis Diraja Malaysia (PDRM) di bawah Kanun Keseksaan.
Katanya, internet dan aplikasi internet telah membuka ruang kepada komunikasi yang lebih luas dan terbuka termasuk aktiviti tidak bermoral seperti penganjuran parti liar, hubungan terlarang dan aktiviti bertentangan undang-undang seperti penyediaan khidmat pelacuran dalam talian.
“SKMM memandang serius dengan gimik pemasaran laman cari teman Sugarbook baru-baru ini yang mendakwa semakin ramai wanita Malaysia terutamanya penuntut universiti, menawarkan diri sebagai ‘sugar baby’ di laman aplikasi tersebut.
“Dakwaan seperti yang terdapat dalam gimik pemasaran itu perlu disiasat untuk disahkan kerana profil pengguna boleh diolah sesuka hati untuk tujuan-tujuan yang berlainan termasuk untuk memperdaya mangsa,” katanya.
Sebelum ini, media melaporkan Malaysia berada pada kedudukan ketiga tertinggi di Asia di belakang India dan Indonesia bagi negara yang mempunyai bilangan ‘sugar daddy’ paling ramai melalui aplikasi terbabit, yang menyediakan platform mencari perempuan simpanan atau lebih dikenali sebagai ‘sugar baby’. – UTUSAN ONLINE