KLANG: Pengawal keselamatan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan menyembunyikan harta milik individu lain November tahun lalu.
Tertuduh, Danial Hakim Abdul Majid, 21, membuat pengakuan tersebut di hadapan Majistret Muhammad ‘Azzam Zainal Abidin selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah.
Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa dengan curang menyembunyikan harta curi iaitu RM1,250 milik seorang wanita merupakan kerani berusia 24 tahun melalui akaun bank milik individu lain yang mana kad pengeluaran wang automatik (ATM) dalam jagaannya.
Tertuduh didakwa melakukan perbuatan itu di sebuah kediaman di Jalan Meru, Klang pada 29 November tahun lalu.
Berdasarkan pertuduhan, tertuduh yang didakwa mengikut Seksyen 424 Kanun Keseksaan boleh dihukum di bawah seksyen sama dengan memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih lima tahun atau denda atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.
Hakim membenarkan ikat jamin terhadap tertuduh RM2,000 dan menetapkan tarikh sebutan semula kes pada 17 Mac hadapan.
Difahamkan, tertuduh menjual nombor akaun milik teman wanitanya kepada seorang lelaki lain dengan menerima upah kira-kira RM250.
Terdahulu, pengadu merupakan seorang wanita telah melayari laman sesawang dan berminat membeli sebuah beg tangan berjumlah RM3,250. Pengadu yang berminat telah memasukkan wang deposit sebanyak RM1,250 ke dalam sebuah akaun.
Pengadu juga memasukkan wang RM2,000 ke dalam sebuah akaun berasingan selepas dijanjikan untuk menghantar beg tangan itu kepadanya, namun, sehingga kini tidak diberikan.
Oleh demikian, pengadu telah membuat laporan polis dan tertuduh di tahan pada 16 September tahun lalu di sekitar kawasan Bandar Baru Klang kira-kira pukul 1.44 petang bagi membantu siasatan. -UTUSAN ONLINE