IPOH: Walaupun tanpa majlis kenduri dan bersanding disebabkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), majlis pernikahan sepasang pengantin baharu di Seri Iskandar dekat Parit baru-baru ini menjadi
kenangan manis buat mereka apabila terpaksa ‘makan beradab’ di restoran makan segera KFC.
Pasangan berkenaan, Nurdiana Amirah Khairil Asnizar, 25, dan suaminya, Hazrin Amree, 26, pada awalnya bercadang untuk makan tengah hari di restoran di sekitar bandar Seri Iskandar selepas selamat diijab kabul di Pejabat Agama Islam Seri Iskandar.
Namun kebanyakan premis makan di kawasan itu menutup perniagaan disebabkan PKP.
Nurdiana Amirah yang merupakan seorang eksekutif di sebuah syarikat swasta di Kuala Lumpur berkata, berikutan itu timbul idea spontan untuk mereka makan tengah hari di KFC di Seri Iskandar.
“Saya dan suami okey saja makan tengah hari di KFC, tempatnya selesa, sejuk sebab ada aircond, belum pernah lagi orang buat pengantin makan tengah hari di KFC, tak sangka pula ada yang kata kami ‘makan beradab’ sebab baru selesai akad nikah.
“Ketika itu, memang ada orang yang memerhatikan gelagat kami kerana dengan baju pengantin makan di KFC, tapi saya dan suami tak kisah malah ia menjadi kenangan pada hari perkahwinan kami,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini semalam.