Penganggur mengaku tak bersalah pandu mabuk - Utusan Malaysia

Penganggur mengaku tak bersalah pandu mabuk

T. YOGARAJAH (tengah) diiringi anggota polis trafik ketika dihadapkan ke Mahkamah Majistret atas pertuduhan memandu dalam keadaan mabuk sehingga menyebabkan kematian anggota polis di Kluang, Johor. - UTUSAN/MOHAMAD FAHD RAHMAT
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KLUANG: Seorang penganggur mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini atas tuduhan memandu dalam keadaan mabuk sehingga menyebabkan kematian seorang anggota polis, Jumaat lalu.

Tertuduh, T. Yogarajah, 58, membuat pengakuan itu sebaik pertuduhan dibacakan terhadapnya oleh jurubahasa di hadapan Majistret Arun Noval Dass.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa memandu kereta dengan kadar alkohol dalam nafas melebihi had yang ditetapkan dan menyebabkan kematian Lans Koperal Bradford Bernard, 28.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di Kilometer 6 Jalan Kluang – Teck Wah Hing, pada 10.57 malam, 12 Februari lalu.

Bagi kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 44 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan boleh dihukum di bawah seksyen yang sama.

Jika disabit bersalah, lelaki itu boleh dihukum penjara selama tempoh tidak kurang daripada 10 tahun dan tidak lebih daripada 15 tahun serta denda maksimum RM100,000.

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya Nur Zahida Muhammad Ruzi manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Terdahulu, Nur Zahida tidak menawarkan sebarang jaminan terhadap tertuduh namun Arun memberikan peluang kepada Yogarajah untuk merayu jaminan tetapi dia tidak mahu kerana memaklumkan tidak mampu membayar.

Arun memerintahkan lesen memandu tertuduh digantung sehingga perbicaraan selesai dan menetapkan 22 Mac ini sebagai tarikh sebutan semula sementara lelaki itu dibenarkan untuk melantik peguam atau mendapatkan khidmat Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK).

Dalam kejadian itu, Bradford yang bertugas di Cawangan Pengiring Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Kluang meninggal dunia di tempat kejadian apabila dilanggar kereta dipandu Yogarajah.

Mangsa yang menunggang motosikal ketika kejadian dalam perjalanan pulang ke IPD Kluang selepas menamatkan tugas kawalan keselamatan di kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) Penjara Simpang Renggam di sini.

Bradford yang berasal dari Penampang, Sabah baru mendirikan rumah tangga dengan pasangannya, Tracyla Josephine Thimoty, 24, pada awal Januari lalu selepas beberapa kali ditangguhkan akibat Covid-19.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya