Penganggur didakwa muat naik status jelik terhadap polis di Facebook - Utusan Malaysia

Penganggur didakwa muat naik status jelik terhadap polis di Facebook

K. Haridas, 40, ketika dihadapkan di Mahkamah Sesyen Georgetown, Pulau Pinang hari ini atas dakwaan membuat hantaran komunikasi jelik terhadap anggota polis di dalam laman sosial Facebook tiga tahun lalu
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGETOWN: Seorang penganggur mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas dakwaan membuat hantaran komunikasi jelik terhadap anggota polis di dalam laman sosial Facebook tiga tahun lalu.

Tertuduh, K. Haridas, 40, membuat pengakuan itu ketika pertuduhan ke atasnya dibacakan di hadapan Hakim Norsalha Datuk Hamzah.

Mengikut pertuduhan, dia didakwa secara sedar membuat dan memulakan penghantaran komunikasi yang jelik sifatnya bertajuk “Talk GE14 – Part 11 #Vote For PH #Kick Out BN “So Many Dummy Police Officer In Malaysia” dengan niat untuk menyakitkan hati orang lain.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu melalui perkhidmatan aplikasi Facebook menggunakan laman profil Facebook “Defend People’s Rights Group” di pautan www.makklada.org pada 26 Mac 2018 kira-kira pukul 12.37 tengah hari.

Pautan Facebook itu kemudian dibaca pada 28 Mac 2018 kira-kira pukul 9 pagi di Asia Heights, Lorong Semarak Api 3, 11500 Ayer Itam di sini.

Untuk kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 233 (1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588) dan boleh didenda tidak lebih RM50,000 atau penjara tidak lebih setahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 233 (1) (a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 233(3) akta sama yang membawa hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara maksimum setahun atau kedua-duanya.

Tertuduh juga boleh didenda selanjutnya RM1,000 bagi setiap hari kesalahan itu diteruskan selepas sabitan.

Dalam pada itu, Timbalan Pendakwa Raya Nabila Huda Muhammad Nazim menawarkan jaminan tidak kurang RM30,000 dengan seorang penjamin namun tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu jaminan dikurangkan.

Hakim Norsalha kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM20,000 dengan seorang penjamin dan dikenakan syarat tambahan iaitu tidak boleh memuat naik sebarang hantaran di dalam laman sesawang.

Mahkamah turut menetapkan 11 Mac ini untuk sebutan semula kes dan penyerahan dokumen. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya