PETALING JAYA: Kira-kira 5,000 penduduk Projek Perumahan Rakyat (PPR) Lembah Subang 2 dekat sini mendesak supaya syarikat pengurusan kawasan itu dipecat kerana gagal dalam menguruskan kerja.
Wakil penduduk, Endi Susilo Tasiron, 35, penduduk terpaksa berdepan dengan pelbagai masalah termasuk gangguan bekalan air selama dua hari kerana pihak pengurusan memaklumkan notis pemotongan kepada penduduk.
Menurutnya, syarikat pengurusan yang dilantik Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) menerima surat pemotongan bekalan air pada 28 Januari lalu, tetapi, tidak memaklumkan kepada seluruh penduduk perumahan yang mewakili 1,580 unit.
“Saya ada bertanyakan kepada kakitangan syarikat pengurusan, tetapi, mereka gagal memberikan jawapan kepada penduduk.
“Tindakan tidak bertanggungjawab pihak pengurusan ini menyusahkan kerana kami tidak menyimpan air. Oleh demikian, penduduk terpaksa beli air bagi urusan harian sebelum bekalan tersebut ada hari ini,” katanya ketika ditemui di kawasan perumahan itu di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Endi berkata, penduduk bukan sahaja berdepan dengan gangguan bekalan air tetapi syarikat yang dilantik sejak Mei tahun lalu gagal menguruskan sampah dan kerja penyelengaraan lif.
Katanya, syarikat itu gagal mengikut jadual pengambilan sampah pukal yang telah ditetapkan oleh kerajaan.
“Berdasarkan jadual, syarikat perlu mengambil sampah pukal seperti almari, tilam, peti ais dan lain-lain lagi di rumah sampah PPR sekali setiap bulan.
“Namun, syarikat dilihat membuat kerja sambil lewa apabila hanya mengambil sampah ini sebulan setengah atau dua bulan sekali. Saya pernah bertanya perkara ini, namun, mereka memberikan alasan kekurangan pekerja untuk membuat kerja tersebut,” jelasnya.
Sementara itu, Ahli Parlimen Petaling Jaya, Marina Chin Abdullah yang hadir ke PPR tersebut berkata, beliau akan mengaturkan pertemuan dengan wakil KPKT secepat mungkin bagi membincangkan isu menukar syarikat pengurusan PPR Lembah Subang 2.
“KPKT harus bertindak segera kerana penduduk sudah lama bersabar dengan syarikat terbabit memandangkan beberapa peluang telah diberikan kepada syarikat untuk memperbaiki prestasinya.
“KPKT perlu melakukan audit di semua PPR seluruh negara sama ada syarikat pengurusan PPR yang dilantik melakukan bidang tugasnya atau sebaliknya. Masalah seperti ini akan berlaku sekiranya audit tidak dilakukan,katanya.-UTUSAN ONLINE