Penduduk dakwa lihat lintas cahaya di ruang udara - Utusan Malaysia

Penduduk dakwa lihat lintas cahaya di ruang udara

BENTUK lintasan cahaya hijau terang dipercayai meteor yang didakwa melintasi ruang rumah beberapa penduduk di Kedah malam semalam. - Gambar hiasan
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SUNGAI PETANI: Beberapa penduduk di negeri ini mendakwa terlihat lintasan cahaya berwarna hijau terang dipercayai meteor melintasi ruang udara rumah mereka, malam tadi.

Penduduk dari Kampung Berapit, Tikam Batu, Muhammad Ridzuan Osman, 33, berkata, dia ternampak cahaya terang berwarna hijau itu melintasi di ruang udara ketika sedang berbual bersama enam penduduk lain di sebuah gerai makan berdekatan rumahnya pada pukul 9.30 malam.

Menurutnya, dia merupakan orang pertama yang melihat lintasan cahaya terbabit sebelum memaklumkan kepada rakan-rakan lain.

“Ketika sedang rancak berbual, kami tiba-tiba terdiam selepas masing-masing ternampak cahaya hijau terbabit.

“Cahaya hijau berkenaan bergerak sangat pantas sehingga tiada dalam kalangan kami yang sempat merakam kejadian terbabit,” katanya di sini hari ini.

Tambahnya, cerita mengenai kejadian itu telah dikongsikan dalam laman Facebook miliknya malam semalam dan terdapat beberapa individu lain turut mendakwa melihat kejadian sama di tempat masing-masing.

Penduduk lain dari Kampung Sungai Korok Balai Polis Jitra, Azlina Ali, 51, berkata, dia turut ternampak lintasan cahaya terbabit.

Katanya, ketika kejadian, dia sedang duduk berehat di depan rumahnya sebelum ternampak lintasan cahaya hijau terbabit.

“Pada mulanya saya hanya berdiam diri kerana ingat ianya cahaya mercun namun selepas terlihat status di Facebook milik Muhammad Ridzuan itu baru saya tahu ianya bukan cahaya mercun,” ujarnya.

Tinjauan Utusan Malaysia di ruangan komen status Facebook milik Muhammad Ridzuan itu juga mendapati terdapat beberapa lagi individu lain yang berada di lokasi berlainan mendakwa melihat kejadian sama.

Antara lokasi yang dimaklumkan dalam ruangan komen terbabit adalah Sungai Lalang dan Titi Semeling serta Kelang Lama di Kulim.

Sementara itu, Pengarah Pejabat Meteorologi Kedah, Muhammad Khalil Abd. Aziz berkata, pihaknya belum menerima maklumat berkaitan kejadian terbabit.

“Kita belum terima sebarang maklumat berkaitan hal ini, kebarangkalian cahaya yang dilihat penduduk terbabit adalah meteor, namun perkara ini perlu disahkan terlebih dahulu oleh pihak yang lebih arif,” jelasnya. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya