SEREMBAN: Lebih 50 orang tenaga pengajar sebuah institut memandu dekat sini terjejas sumber pendapatan ekoran tempat mereka bekerja itu masih belum dibuka sejak pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada tahun lalu.
Salah seorang daripada mereka, Nur Idayu Razali, 43, berkata, dia sudah hampir setahun tidak mengajar memandu dan terpaksa mencari kerja lain termasuk menjadi ‘runner’ untuk menghantar barang dan makanan.
Dengan menjadi tenaga pengajar, dia mampu mendapat sebanyak RM1,300 sebulan namun kini dia perlu mencari sumber pendapatan lain.
“Sejak PKP tahun lalu, saya tiada pendapatan kerana ada pelajar, baru kami ada gaji. Selepas PKP pertama tahun lalu kami dibenarkan mengajar juga namun kali ini langsung tidak ada.
“Saya terpaksa menjadi ‘runner’ menghantar barang dan makanan selain perlu berniaga kecil-kecilan untuk menampung kehidupan. Lebih merisaukan, saya terpaksa membayar kereta institut memandu secara sewa beli,” katanya.
Nur Idayu ditemui Utusan Malaysia selepas menerima sumbangan daripada Pusat Gelandangan Dapur Kausar di Jalan Tam Yeong dekat sini semalam.
Menurutnya, buat masa ini sekolah memandu hanya mengendalikan kelas-kelas pembelajaran yang tertangguh sebelum ini dan sesi pemanduan belum lagi bermula.
Seorang lagi tenaga pengajar pusat latihan memandu, Norlin Mohd. Noor, 54, berkata, dia sudah menjadi tenaga pengajar di institut memandu sejak 1996 namun pendapatannya terjejas teruk akibat PKP.
“Saya memang menggunakan duit simpanan sekarang ini, tiada pendapatan dan hanya menunggu waktu untuk kerajaan membenarkan kami boleh mengajar semula.
“Saya berharap ada kelonggaran kepada kami sebagai tenaga pengajar untuk mencari rezeki. Jika ada pelajar kami akan ada pendapatan semula,” katanya.
Sementara itu Pengurus Dapur Kausar, Azlin Ali berkata, dia mendapat maklumat terdapat tenaga pengajar institut memandu berkenaan tidak mempunyai pendapatan sepanjang PKP.
“Oleh itu pihak Dapur Kausar dan beberapa penyumbang mengumpulkan barang-barang keperluan untuk diberikan kepada mereka yang terkesan,” katanya.- UTUSAN ONLINE