JERANTUT: Keputusan kerajaan melanjutkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sehingga 18 Februari ini meresahkan golongan pemandu pelancong di sini.
Pengerusi Persatuan Pemandu Pelancong Mukim Ulu Cheka, Shaiful Alias, 37, berkata, mereka kini berada dalam dilema memikirkan nasib setelah terjejas teruk dan hilang pendapatan sejak Mac tahun lalu.
“Aktiviti lasak seperti mendaki Gunung Benom, mandi manda di air terjun dan melihat bunga rafflesia spesies cantlye serta melihat cacing gergasi di jajaran gunung ini hampir terhenti sejak Covid-19 melanda negara Mac tahun lalu.
“Aktiviti lasak dan ekspedisi menjejaki bunga pakma rafflesia agak rancak pada fasa Perintahan Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) tetapi kembali sifar sejak PKP ini,” katanya kepada Utusan Malaysia semalam.
Shaiful berkata, mereka tidak malu mengakui pendapatan ahli persatuan itu sifar sejak PKP dikuatkuasakan berikutan pelancong domestik tidak dapat merentas daerah dan negeri.
Menurutnya, sebelum Covid-19, aktiviti mendaki dan ekspedisi menjejak bunga rafflesia rancak dengan kehadiran pelancong pada hujung minggu.
Tambahnya, mereka berada dalam dilema apabila aktiviti pembalakan di Gunung Benom bakal memusnahkan alam semula jadi yang masih tidak terusik di kawasan berkenaan.
“Kerajaan negeri harus melihat kawasan ini sebagai khazanah bernilai dan patut digazetkan sebagai zon ekopelancongan negara,” katanya.
Ini kerana tegasnya, Gunung Benom mempunyai kawasan hutan dipterokarp bukit, hutan dipterokarp atas, hutan montane dan hutan gunung.
Jelasnya, hutan dipterokarp bukit adalah kelas hutan terluas mengandungi pokok keras bernilai tinggi seperti seraya, keruing dan meranti.