Pencemaran: Perkenal sistem pengesanan pencemaran sungai pintar - Utusan Malaysia

Pencemaran: Perkenal sistem pengesanan pencemaran sungai pintar

ZIKRULLAH Ismail menunjukkan keadaan Sungai Kereh, Tasek Gelugor, Pulau Pinang yang tercemar teruk dipercayai akibat pelepasan najis babi dari ladang penternakan di Kampung Selamat. - IHSAN LEKAS
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA:  Bagi memastikan isu pencemaran air tidak lagi berlaku di negara ini sehingga menyusahkan rakyat, kerajaan perlu mewujudkan sistem pengesanan pencemaran sungai pintar sebagai solusi jangka masa panjang.

Sistem seperti ini pernah dipraktiskan di negara-negara maju seperti Korea Selatan.

Ketua Jabatan Alam Sekitar Universiti Putra Malaysia (UPM), Dr. Nor Rohaizah Jamil berkata, sistem itu bertujuan untuk menangani permasalahan pencemaran yang tidak berkesudahan.

“Adalah perlu pihak berwajib untuk mewujudkan sistem pengesanan bahan cemar pintar (Smart River Pollution Detection System) di mana protokol ini telah berjaya dibangunkan di negara maju seperti Korea Selatan.

“Ia terbukti berkesan dalam memulakan proses pengesanan bahan cemar yang lebih cekap, cepat dan membantu pembuatan keputusan yang tepat,” katanya kepada Utusan Malaysia ketika dihubungi di sini hari ini.

Tambah Nor Rohaizah, sekurang-kurangnya terdapat tiga komponen utama dalam sistem pengesanan ini iaitu pangkalan data, komponen analisis pintar dan pilihan opsyen terbaik bagi mengawal pencemaran. 

“Sistem pengesanan pencemaran sungai pintar ini adalah merupakan satu strategi yang baik bagi jangka masa panjang dalam protokol respons kecemasan bagi insiden pencemaran mendadak,” katanya.

Beliau memberitahu, seiring dengan perkembangan teknologi semasa, sistem ini akan dapat dimanipulasi secara maksimum dalam pelbagai aspek berkenaan pengurusan sungai.

“Selain dapat membantu dalam menjaga kelestarian sumber air negara, ia juga dapat meningkatkan keyakinan umum terhadap kemampuan kita untuk menangani isu berkaitan pengurusan sumber secara efektif bagi kebaikan semua.

“Terdapat keperluan mendesak bagi mengoptimumkan semua kepakaran berkaitan dalam negara dan pembangunan pangkalan data terintegrasi dalam membantu menghasilkan sistem ini serta usaha membantu kerajaan dalam proses membuat keputusan, sekaligus meningkatkan keberkesanan intervensi tindakan yang dirancang,” katanya. -UTUSAN ONLINE

 

 

 

 

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN