PETALING JAYA: Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) menjangkakan bahawa penamatan Program Subsidi Upah (PSU) tidak akan menyumbang kepada peningkatan pemberhentian kerja atau kadar pengangguran.
Ketua Eksekutif Perkeso, Datuk Seri Dr. Mohammed Azman Aziz Mohammed berkata, jangkaan itu adalah berdasarkan daripada hasil tinjauan yang dijalankan oleh Pusat Kajian Pasaran Buruh Masa Hadapan (EU-ERA) yang merupakan pusat penyelidikan kolaboratif antara Sistem Insurans Pekerjaan (SIP) Perkeso dan Universiti Putra Malaysia Consultancy & Services (UPMCS).
Katanya, tinjauan ringkas itu meliputi 469 buah syarikat yang menerima PSU yang dijalankan secara dalam talian pada 30 Oktober dan berakhir pada 22 November 2020, dengan tujuan untuk menilai impak penamatan PSU ke atas pekerjaan.
“Hasil tinjauan mendapati hanya 15 peratus daripada responden merancang untuk mengurangkan pekerja, sementara 29 peratus lagi bercadang untuk meningkatkan jumlah pekerja mereka dan lebih daripada separuh atau 56 peratus cenderung untuk mengekalkan pekerja sedia ada.
“Berdasarkan penemuan ini, dapat dirumuskan bahawa penamatan PSU dijangka tidak akan meningkatkan kadar pemberhentian pekerjaan dan pengangguran,” katanya dalam kenyataan.
Pada masa sama, Mohammed Azman berkata hasil tinjauan itu juga menyokong pelaksanaan PSU bersasar pada tahun ini seperti yang terkandung dalam Belanjawan 2021.
“Terdapat syarikat dalam beberapa sektor yang telah menunjukkan pemulihan setelah kerajaan membuka semula aktiviti ekonomi sejak Jun tahun lalu dan disokong dengan pelaksanaan pakej-pakej rangsangan ekonomi.
“Namun begitu, masih terdapat syarikat di sektor-sektor seperti pelancongan yang masih memerlukan bantuan PSU kerana pemulihan di sektor-sektor ini dijangka akan mengambil masa yang lebih lama,” katanya.
Bagaimanapun, Mohammed Azman mengakui penemuan tinjauan ini tidak mengambil kira kesan ekonomi akibat pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di Lembah Klang yang bermula pada 14 Oktober 2020 lalu dan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 2.0 yang bermula pada 13 Januari 2021.
“PKPB dan PKP 2.0 dijangka memberi impak sederhana kepada pemulihan ekonomi dan seterusnya, berpotensi memberi kesan kepada sektor pekerjaan.
“Perkeso menerusi Pejabat SIP akan terus memainkan peranan penting sebagai pelengkap kepada maklumat pasaran buruh di Malaysia,” katanya.
PSU dirangka oleh kerajaan sebagai bantuan kewangan langsung kepada syarikat untuk mengekalkan pekerjaan semasa berlakunya pandemik Covid-19.
Program PSU 1.0 yang dilancarkan pada 1 April 2020 merangkumi bantuan kewangan selama enam bulan dan bantuan ini dilanjutkan selama tiga bulan lagi di bawah PSU 2.0.
Sehingga 31 Disember tahun lalu , lebih 3.7 juta pekerja dan 428,516 majikan telah mendapat manfaat daripada program ini. – UTUSAN ONLINE