Pemilik unit Jiran Residensi terima kunci rumah secara dalam talian - Utusan Malaysia

Pemilik unit Jiran Residensi terima kunci rumah secara dalam talian

MAJLIS penyerahan kunci kepada pemilik unit projek perumahan mampu milik kerajaan negeri iaitu Jiran Residensi di Kampung Jawa, Butterworth, Pulau Pinang dijalankan secara dalam talian hari ini ekoran situasi terkini pandemik Covid-19.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BUTTERWORTH: Buat pertama kalinya, majlis penyerahan kunci kepada pemilik unit projek perumahan mampu milik kerajaan negeri iaitu Jiran Residensi di Kampung Jawa, di sini dilakukan secara dalam talian ekoran pandemik Covid-19.

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan, Perancangan Bandar dan Desa negeri, Jagdeep Singh Deo berkata, pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akibat wabak Covid-19 tidak sepatutnya menjadi alasan pemilik unit rumah di Jiran Residensi itu lewat menerima kunci rumah masing-masing.

“Oleh kerana itu, kerajaan negeri mengambil inisiatif untuk menjalankan majlis penyerahan kunci kepada pemilik rumah ini secara dalam talian.

“Kesihatan awam menjadi keutamaan seiring dengan ekonomi rakyat, disebabkan itu majlis secara online ini diadakan bagi memastikan pemilik mendapat kunci rumah masing-masing dengan segera selain mengelakkan risiko Covid-19,” katanya dalam sidang akhbar menerusi Facebook di Komtar, di sini hari ini.

Turut serta dalam sidang akhbar secara maya itu ialah Ketua Menteri, Chow Kon Yeow.

Menurut Jagdeep, projek Jiran Residensi adalah projek ketiga skim rumah mampu milik kerajaan negeri yang telah berjaya dibina dan disiapkan oleh Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC)untuk rakyat negeri ini.

Jelas beliau, pembinaan projek Jiran Residensi itu bermula pada 17 November 2014 dan Sijil Siap dan Pematuhan (CCC) diperoleh pada 26 Januari lalu.

“Projek ini terdiri daripada dua menara iaitu A dan B dengan sebanyak 707unit dan enam lif baharu secara keseluruhannya,” katanya.

Tambahnya, projek Jiran Residensi itu dibina di atas tanah seluas 3.6 hektar iaitu persekitarannya masih dipelihara dengan baik sejajar dengan aspirasi kerajaan negeri menjadikan Pulau Pinang sebuah negeri dengan persekitaran bersih, hijau, sihat dan selamat.

“Kos pembangunan keseluruhan (GDC) projek ini adalah sebanyak RM126 juta dan telah dibiayai melalui dana Perumahan Mampu Milik sebanyak RM500 juta yang ditubuhkan oleh kerajaan negeri.

“Harga unit di Jiran Residensi ini bermula pada kadar RM72,500 bagi pangsapuri kos sederhana rendah hingga RM275,000 (pangsapuri kos sederhana),” katanya.

Selain itu, katanya, Jiran Residensi juga mempunyai pelbagai kemudahan untuk penduduk seperti surau, dewan serbaguna, lima tingkat bangunan tempat letak kereta dan lain-lain fasiliti. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya