REMBAU: Polis menegaskan pihaknya menggunakan budi bicara dan mengikut prosedur semasa melakukan pemeriksaan dan ujian saringan awal air kencing membabitkan pekerja di sebuah bengkel kereta di Kendong, di sini pada 6 Februari lalu.
Ketua Polis Daerah Rembau, Pemangku Superintenden Anuar Bakri Abdul Salam berkata demikian susulan tular dalam media sosial sejak tengah malam tadi, seorang pemilik bengkel kenderaan kecewa terhadap tindakan polis yang menjalankan pemeriksaan air kencing ke atas pekerjanya.
Pemilik bengkel itu turut mempersoalkan kewajaran saringan air kencing dibuat di atas meja pelanggan yang jarak dari jalan raya dan pandangan orang awam yang sangat jelas sehingga mengundang persepsi buruk masyarakat.
Bagaimanapun, Anuar Bakri menjelaskan, pemeriksaan dan ujian saringan awal air kencing yang dijalankan itu adalah mengikut prosedur dan undang-undang.
“Polis juga menggunakan budi bicara dengan tidak membawa kesemua individu yang mahu dibuat ujian saringan awal air kencing demi mengelakkan operasi bengkel tersebut tergendala dalam tempoh waktu yang lama.
“Pada pemeriksaan terbaharu ini, ujian saringan air kencing telah dijalankan ke atas tujuh individu yang berada di dalam kawasan berkenaan dan didapati seorang lelaki warga tempatan positif dadah jenis THC,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Menurut beliau, enam lagi individu bagaimanapun didapati negatif dadah.
Tambahnya, pemeriksaan lanjut ke atas kenderaan suspek yang positif dadah yang berada di kawasan bengkel tersebut menjumpai sepeket kecil plastik lutsinar di dalamnya mengandungi ketulan-ketulan mampat daun-daun kering disyaki ganja.
“Semakan ke atas suspek juga mendapati dia mempunyai dua rekod jenayah lampau berkaitan dadah dan jenayah.
Kes ini disiasat di bawah Seksyen 6 dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 kerana memiliki dadah dan memasukkan dadah ke dalam tubuh badan,” katanya.- UTUSAN ONLINE