JOHOR BAHRU: Pemilihan UMNO yang dijangka diadakan tidak lama lagi merupakan waktu terbaik kepada mana-mana individu yang mahu mencabar jawatan presiden parti itu untuk bertanding.
Ketua Pemuda UMNO Johor, Mohd. Hairi Mad Shah berkata, parti itu mengamalkan prinsip demokrasi dan pertandingan secara sihat dialu-alukan.
“UMNO parti keramat yang memiliki hierarki dalam pentadbirannya. Jadi sebarang perebutan jawatan seharusnya dibuat ketika pemilihan parti.
“Oleh itu mana-mana pihak yang sebelum ini mendesak dan mencabar presiden untuk meletakkan jawatan, ini masanya untuk mereka tampil dan bertanding,” ujarnya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas membuat laporan polis terhadap bekas Peguam Negara, Tan Sri Tommy Thomas berhubung penerbitan buku bertajuk ‘My Story: Justice in the Wilderness’ di Ibu Pejabat Polis Daerah Johor Bahru Selatan.
Presiden, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi sebelum ini memberitahu kesemua jawatan dalam parti itu akan dibuka untuk dipertandingkan dalam pemilihan tahun ini, termasuk jawatan disandang beliau..
Ahmad Zahid dilaporkan berkata, keputusan itu dibuat untuk membuktikan beliau dan kepimpinan UMNO menerima serta mengamalkan proses demokrasi bagi pemilihan barisan pemimpin.
Sementara itu, Mohd. Hairi turut menambah, pihaknya menyambut baik keputusan dibuat Ahmad Zahid untuk mempertandingkan kesemua jawatan dalam parti secara terbuka.
“Kita akan menerima secara terbuka sebarang pencalonan dibuat mana-mana individu bagi merebut jawatan tertinggi parti.
“Ini kerana UMNO merupakan sebuah parti yang menghormati sistem demokrasi, jadi mana-mana pihak yang tampil bertanding diharap turut menghormati prinsip berkenaan,” katanya. -UTUSAN ONLINE