Pemeriksaan di SJR diperketatkan menjelang Tahun Baharu Cina - Utusan Malaysia

Pemeriksaan di SJR diperketatkan menjelang Tahun Baharu Cina

AHMAD Shukri Mat Akhir (tengah) memeriksa kenderaan yang melalui SJR Op Covid-19 di Plaza Tol Alor Setar Selatan, Alor Setar malam semalam. - UTUSAN/ZAID MOHD. NOOR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Polis akan memperketatkan pemeriksaan di lima sekatan jalan raya (SJR) Op Covid-19 di daerah ini untuk memastikan tidak terdapat individu cuba merentas negeri dan  daerah menjelang sambutan Tahun Baharu Cina pada 12 dan 13 Februari ini.

Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Ahmad Shukri Mat Akhir berkata, pihaknya percaya terdapat individu yang akan mengambil kesempatan pada cuti umum itu untuk balik ke kampung dan sebagainya berikutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) disambung bermula hari ini sehingga 18 Februari depan..

Sehubungan itu, menurutnya, polis akan melakukan pemeriksaan secara lebih ketat terhadap semua kenderaan termasuk bas ekspres dan pengangkutan awam lain di SJR di Plaza Tol Alor Setar Utara untuk masuk ke Alor Setar.

“Setiap penumpang bas ekspres dan pengangkutan awam lain perlu mempunyai surat kebenaran polis dan majikan untuk merentas negeri serta daerah.

“Mereka yang gagal menunjukkan surat berkenaan akan diarah berpatah balik dan dikenakan kompaun RM1,000,” katanya ketika melakukan pemeriksaan di sekatan jalan raya (SJR) Op Covid-19 di Plaza Tol Alor Setar Selatan, di sini malam semalam.

Ahmad Shukri menambah, polis juga akan memastikan kesahihan surat kebenaran merentas negeri dan daerah setiap individu kerana dipercayai kemungkinan terdapat cubaan memalsukan surat tersebut.

“Polis akan meneliti semua maklumat dilampirkan dalam surat kebenaran yang ditunjukkan individu di SJR tersebut dan sekiranya meragukan polis akan menghubungi majikan terlibat,” ujarnya.

Selain itu, beliau memberitahu, sebanyak 91 kompaun dikeluarkan oleh pasukan pemantau Op Covid-19 Kota Setar sejak pelaksanaan PKP di daerah ini sejak 22 Februari lalu sehingga semalam.

Katanya, polis juga melakukan empat tangkapan melibatkan warga asing kerana melanggar prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.

“Antara kesalahan yang dilakukan oleh individu yang dikompaun itu ialah rentas daerah dan negeri tanpa kebenaran sembilan kompaun, tidak memakai pelitup muka (19), melakukan aktiviti yang tidak dibenarkan (10), makan di kedai makan (35) dan tidak mengamalkan penjarakan sosial (11).

“Kesalahan lain ialah langgar syarat kuarantin satu kompaun, menjalankan perniagaan bukan essential (dua), tidak mengakses Mysejahtera ketika masuk ke premis perniagaan (dua) dan tidak menyediakan buku pelanggan serta Mysejahtera (dua),” katanya. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN