SEREMBAN: Pembeli perumahan Taman Baiduri, Projek Perumahan Rakyat (PPR) Rantau dekat sini memohon supaya kerajaan Negeri Sembilan menyegerakan proses penyerahan kunci hak milik kediaman tersebut selepas ia siap dibina lebih setahun lalu.
Wakil pembeli mendakwa, selepas proses cabutan dan dokumentasi diselesaikan dan pembeli sudah mendapat nombor rumah masing-masing, namun, sehingga kini kunci rumah masih belum dimiliki oleh pembeli.
Salah seorang daripada mereka, Rasidah Samsudin, 41, berkata, kelewatan penyerahan kunci tersebut menyebabkan dia sekeluarga terpaksa terus menyewa rumah dengan bayaran lebih tinggi.
“Sebelum ini, pembeli diberitahu penyerahan kunci akan dilakukan pada penghujung bulan Disember lalu selepas beberapa kali tertangguh, namun, sehingga ini bulan Februari hampir ke penghujung, kami masih belum lagi memperoleh kunci rumah kami.
“Saya kini masih tinggal di rumah sewa dengan bayaran RM500 sebulan, apabila kami mula-mula dapat rumah ini rasa seronok sangat, sebab rumah PPR tentulah banyak membantu kami dalam bayaran sewa beli yang lebih rendah, namun, sehingga kini rumah masih belum dapat masuk lagi,” katanya kepada pemberita di taman perumahan tersebut hari ini.
Projek Taman Baiduri, PPR Rantau dibina sebanyak 100 unit rumah di atas tanah kerajaan negeri dengan keluasan enam hektar yang lengkap dengan pelbagai kemudahan seperti surau, pusat komuniti, tadika, gelanggang futsal, taman permainan dan gerai.
Pembangunan taman perumahan tersebut adalah kerjasama di antara kerajaan negeri dan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) di mana kerajaan negeri menyediakan tanah sementara pembangunan projek dilaksanakan oleh KPKT.
Harga seunit rumah PPR Rantau ini, dijual dengan kadar RM35,000, berbanding harga sebenarnya RM150,000 dengan kerajaan telah memberi subsidi lebih RM100,000 bagi setiap unit.
Seorang lagi pembeli, Fauzi Zakaria, 42, berkata, kelewatan penyerahan kunci tersebut menyebabkan keadaan taman perumahan berkenaan tidak terurus dan beberapa bahagian rumah juga sudah rosak akibat vandalisme.
“Walaupun taman perumahan ini ada pengawal keselamatan, namun, kami dapati ada banyak unit rumah yang rosak dan ada peralatan rumah juga telah dicuri seperti lampu dan kipas.
“Ada juga tingkap dan pintu yang sudah pecah, tidak tahu siapa pelakunya, pelik juga sebab ada pengawal keselamatan. Saya harap supaya kunci dapat segera diberikan kepada pembeli kerana saya sekeluarga sekarang ini hanya menumpang di rumah kawan,” katanya.
Sementara itu, Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, projek perumahan tersebut adalah dibawah KPKT dan kerajaan negeri dan memang bersedia untuk melakukan proses penyerahan kunci rumah sekiranya mendapat lampu hijau daripada kementerian terbabit.
“PPR tersebut dibawah KPKT dan akan diserahkan kepada kerajaan negeri, kerajaan negeri tengah menunggu perkara tersebut, kerajaan memang bersedia pada bila-bila masa kalau KPKT arahkan (penyerahan kunci), kita pun tak berani sebab kalau ada apa jadi seperti kerosakan bukan lagi dibawah kuasa kerajaan negeri.
“Mereka (pemilik) kena faham, ia dibawah KPKT iaitu dibawah kerajaan Persekutuan, penyerahan belum boleh buat sebab belum ada lampu hijau daripada KPKT,” katanya dalam sidang akhbar selepas mempengerusikan Mesyuarat Mingguan Exco di Wisma Negeri di sini hari ini. -UTUSAN ONLINE