ALOR SETAR: Lebih 1,000 pemandu bas ekspres yang bernaung di bawah Persatuan Pemandu Bas Semenanjung Malaysia (PPBSM) kecewa kerana mereka tidak disenaraikan sebagai penerima pakej bantuan Perlindungan Ekonomi dan Rakyat Malaysia (Permai).
Menurut Presidennya, Saadan Man, pihaknya kesal dengan pengagihan tersebut yang dianggap tidak menyeluruh sedangkan pemandu bas ekspres merupakan antara golongan yang paling terkesan akibat penularan Covid-19.
Katanya, ketika ini terdapat pemandu bas ekspres yang langsung tidak menerima gaji dan terdapat dalam kalangan mereka terpaksa bekerja sebagai buruh di kampung demi mencari rezeki.
“Kami merasakan pemandu bas ekspres telah tercicir daripada menerima bantuan tersebut sedangkan pemandu bas persiaran, bas pelancong, bas sekolah, kereta sewa, teksi dan perkhidmatan e-hailing tersenarai sebagai golongan yang layak.
“Justeru, kami amat berharap supaya kerajaan dapat bersikap lebih adil. Di pihak PPBSM, kami bersedia pada bila-bila masa untuk menghantar senarai maklumat pemandu yang layak menerima bantuan itu kepada kerajaan,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini, hari ini.
Menerusi pakej bantuan tersebut yang diumumkan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada 18 Januari lalu, kerajaan memperuntukkan sebanyak RM66 juta yang akan memanfaaatkan seramai 14,000 pemandu pelancong serta 118,000 pemandu teksi, bas sekolah, bas persiaran, kereta sewa dan e-hailing.
Pembayaran tersebut dibuat secara sekali bayar atau ‘one off’ kepada setiap individu yang layak menerimanya.
Saadan menambah, dalam usaha untuk mendapatkan perhatian kerajaan berhubung perkara itu, pihaknya telah menghantar surat kepada Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Wee Ka Siong pada 25 Januari lalu.
Sementara itu, salah seorang pemandu bas ekspres, Mohamad Anis Hamid, 57, mengakui cukup runsing memikirkan mengenai nasib dirinya dan keluarga setelah pembayaran gajinya terjejas sejak penularan Covid-19.
“Demi mencari rezeki, saya kini sanggup melakukan apa saja termasuk kerja-kerja kampung. Dalam masa sama, saya juga bertugas sebagai pengawal keselamatan secara sambilan.
“Kalaulah kami juga menerima bantuan tersebut, sudah tentu setidak-tidaknya dapat membantu ketika masing-masing berada dalam keadaan sukar kini,” katanya.
Seorang lagi ahli PPBSM, Mohammed Mohammad Ibrahim, 50, berkata, tidak semua syarikat menawarkan gaji pokok kepada pemandu dengan ada antara mereka yang dibayar bersandarkan jumlah perjalanan.
“Kalau bas bergerak, barulah pemandu ada elaun. Tetapi dalam keadaan sekarang, kebanyakan syarikat telah mengurangkan jumlah perjalanan kerana tiada penumpang.
“Maka kami juga turut terkesan, sama seperti pemandu bas persiaran dan pelancong. Oleh sebab itu, kami juga sepatutnya layak menerima bantuan tersebut,” katanya. -UTUSAN ONLINE