LUMUT: Pembukaan semula sektor pelancongan dalam Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) mampu menggerakkan semula sektor berkenaan di Pulau Pangkor tetapi pada kadar perlahan.
Pengerusi Persatuan Hotel dan Resort Pulau Pangkor, Munir Shaari berkata, setakat ini sudah ada penginapan yang menerima tempahan tetapi dalam jumlah yang sedikit.
“Ada tempahan yang sudah masuk tetapi dalam jumlah yang kecil kerana rakyat masih dalam keadaan berjaga-jaga walaupun pasti ramai yang sudah tidak sabar untuk berjalan-jalan,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini semalam.
Menurut beliau, memandang kebanyakan sektor lain sudah dibuka walaupun kes masih meningkat dan sektor pelancongan antara yang paling terjejas, pihaknya akur dan membuka kembali penginapan untuk pelancong.
Bagaimanapun katanya, prosedur operasi standard (SOP) perlu dipatuhi agar keselamatan dan kesihatan pekerja dan pelancong dapat dijaga sebaik mungkin sesuai dengan keadaan dan kekangan semasa.
Menurutnya, rakyat perlu bijak menilai kesesuaian dan kepentingan melancong bukan sahaja dari segi kesihatan tubuh tetapi juga aspek kesihatan mental.
“Ini kerana ramai sudah tertekan berada di rumah dalam waktu jangka masa yang sudah lama.
“Kami mengalu-alukan kedatangan pelancong tetapi tidak dinafikan kerisauan mengenai pandemik Covid-19 masih ada dalam kalangan kami (pengusaha pelancongan),” katanya.
Sebelum ini Munir berkata, pengusaha pelancongan di Pulau Pangkor khususnya hotel dan resort kini umpama ‘hidup segan mati tak mahu’ berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Beliau berkata, ada resort yang terpaksa meminta pekerjanya mengambil cuti tanpa gaji kerana kebanyakan hotel dan resort di pulau itu tidak menerima kunjungan pelancong sepanjang tempoh PKP.