KULIM: Tindakan seorang pelajar menunggang sebuah motosikal dengan memalsukan nombor pendaftaran membawa padah apabila dia ditahan polis dalam operasi samseng jalanan di Taman Selasih, di sini malam semalam.
Pelajar lelaki berusia 17 tahun dari sebuah sekolah menengah di sini yang bakal menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia ditahan oleh anggota Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Ibu Pejabat Daerah (IPD) Kulim kira-kira pukul 8 malam.
Ketua Polis Daerah Kulim, Superintenden Azhar Hashim berkata, ketika menjalankan operasi anggota melihat sebuah motosikal berkuasa tinggi jenis Kawasaki KR150 ditunggangi oleh seorang remaja dalam keadaan mencurigakan.
“Anggota yang bertugas kemudian menahan remaja itu untuk pemeriksaan dan mendapati nombor pendaftaran hadapan motosikal itu berdaftar di Wilayah Persekutuan, Kuala Lumpur.
“Namun, pemeriksaan lanjut mendapati nombor pendaftaran di belakang motosikal itu pula palsu ‘AHH YOO 9941’,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Azhar berkata, polis telah menahan remaja terbabit untuk pemeriksaan lanjut.
‘Difahamkan remaja terbabit hanya suka-suka mengunakan nombor palsu itu untuk rakaman aplikasi Tik Tok,” jelasnya.
Tambahnya, kes disiasat mengikut Seksyen 108 (3)(f) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – UTUSAN ONLINE