Pekerja asing positif naik lagi kepada 94 orang - Utusan Malaysia

Pekerja asing positif naik lagi kepada 94 orang

Majikan yang gagal mengarahkan pekerja asing mereka menjalani ujian saringan Covid-19 bermula 1 Januari boleh didakwa di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988.- GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Jumlah pekerja warga asing yang disahkan positif setelah menjalani saringan wajib Covid-19 di seluruh negara terus naik lagi lebih tinggi untuk hari kedua berturut-turut.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, angka direkodkan Kementerian Sumber Manusia ialah 94 orang berbanding cuma 66 orang dicatatkan kelmarin.

“Pihak kementerian itu memaklumkan sejumlah 12,454 pekerja warga asing sudah menjalani saringan wajib tersebut di seluruh negara semalam,” katanya pada sidang akhbar hari ini.

Secara kumulatif ujarnya lagi, sejak 1 Disember tahun lalu, seramai 332,216 individu telah pun selesai melakukan ujian mandatori itu yang melibatkan penyertaan sejumlah 14,568 majikan.

Daripada jumlah tersebut ujarnya, cuma 6,375 pekerja warga asing yang disahkan positif wabak maut berkenaan, manakala selebihnya iaitu seramai 325,841 orang lagi adalah negatif.

Sebanyak 1,322 klinik terlibat dalam program khas itu selaras arahan kerajaan mewajibkan pekerja asing menjalani ujian dengan kos saringan perlu ditanggung majikan masing-masing.

Mulai 1 Februari, ujian dilaksanakan oleh Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) itu turut meliputi seluruh negara berbanding empat negeri dan dua Wilayah Persekutuan sebelumnya.

Keperluan saringan ini diwajibkan oleh kerajaan menerusi Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 dengan pematuhan dipantau oleh Kementerian Sumber Manusia.

Pihak kementerian tersebut menetapkan tempoh akhir sehingga 28 Februari ini kepada semua majikan di seluruh negara melakukan saringan untuk pekerja asing yang digajikan mereka.

Majikan turut diberi amaran bahawa kegagalan berbuat demikian boleh menyebabkan Pas Lawatan Kerja Sementara untuk pekerja mereka tidak akan diperbaharui Jabatan Imigresen.

Ismail Sabri turut memaklumkan penamatan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di tiga lokaliti berbeza berkuat kuasa mulai esok mengikut jadual yang ditetapkan.

Ia ujar beliau, melibatkan Pusat Koreksional Dungun dan kuarters kakitangannya serta Blok Pusat Latihan di Pusat Transit Tahanan Penjara Marang, yang kedua-duanya di Terengganu.

“Tidak ketinggalan ditamatkan PKPD ialah Kampung Orang Asli Batu 6, Jalan Pahang, di Tapah, Daerah Batang Padang, Perak yang dihuni masyarakat suku Semai,” kata beliau lagi. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN