PUTRAJAYA: Kerajaan kemungkinan besar akan mewajibkan majikan menempatkan pekerja warga asing digajikan mereka untuk tinggal sementara di hotel bertaraf satu atau dua bintang.
Menteri Kanan Keselamatan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, untuk tujuan tersebut, Akta Standard Minimum Perumahan Pekerja 1990 mungkin dipinda sebagai Ordinan Darurat.
“Kementerian Sumber Manusia sedang meneliti akta ini untuk memberi tempoh masa yang cukup kepada majikan agar segera menyediakan asrama khas untuk pekerja mereka sendiri.
“Ini termasuk menginap di hotel satu atau dua bintang atau pun sewa rumah tertentu sehingga majikan mampu menyediakan penempatan asrama khusus yang lebih selesa,” ujarnya..
Beliau berkata demikian ketika ditanya wartawan mengenai tindakan kerajaan bagi menyekat jangkitan wabak Covid-19 melibatkan pekerja asing pada sidang akhbar di pejabatnya hari ini.
Sambil mengakui banyak kluster dicetuskan pekerja bukan warganegara khususnya di kilang dan tapak pembinaan, beliau memaklumkan ia lebih berpunca faktor kediaman daif mereka.
Pada masa sama ujarnya, kementerian itu juga akan membuka talian khas untuk pekerja asing mengadu jika majikan bertindak memotong gaji untuk menjalani ujian wajib saringan.
“Mereka boleh buat laporan kerana saya difahamkan memang ada kes majikan potong upah pekerja asing untuk elak terpaksa tanggung kos atau tidak mahu bayar ujian itu,” katanya.
Ismail Sabri turut menegaskan, saringan itu turut diwajibkan kepada pekerja tempatan jika timbul kluster di kilang atau tapak pembinaan selain lokaliti tersebut diarahkan untuk ditutup.
Menyentuh isu saringan mandatori itu, beliau berkata, seramai 6,893 warga asing sudah menjalaninya di seluruh negara semalam dengan hanya 78 daripadanya yang didapati positif.
Secara kumulatif jelasnya, kementerian itu memaklumkan seramai 288,879 pekerja asing telah melalui ujian tersebut melibatkan 12,205 majikan sejak dilaksanakan 1 Disember lalu.
“Daripada jumlah itu, sebanyak 5,499 disahkan positif Covid-19 manakala 283,380 lagi adalah negatif dengan penglibatan sejumlah 1,239 buah klinik dalam program wajib ini,” katanya.
Beliau juga menegaskan, mulai 1 Februari lalu, saringan itu sudah diperluaskan ke seluruh negara mengikut ketetapan Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988.
Kementerian Sumber Manusia menetapkan tempoh akhir sehingga 28 Februari ini kepada semua majikan di seluruh negara melakukan saringan untuk pekerja asing digajikan mereka.
Menterinya, Datuk Seri M. Saravanan dilapor menegaskan, majikan gagal berbuat demikian boleh menyebabkan Pas Lawatan Kerja Sementara untuk pekerja mereka tidak diperbaharui.- UTUSAN ONLINE