Pekerja asing disaring positif turun mendadak kepada hanya 19 orang - Utusan Malaysia

Pekerja asing disaring positif turun mendadak kepada hanya 19 orang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Angka pekerja warga asing disahkan positif setelah menjalani saringan wajib Covid-19 seluruh negara semalam turun mendadak setelah catat kenaikan sehari sebelum itu.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, Kementerian Sumber Manusia mendapati hanya 19 orang direkodkan berbanding 205 orang dicatatkan kelmarin.
 
“Pihak kementerian itu memaklumkan sejumlah 15,409 pekerja warga asing sudah menjalani saringan wajib tersebut di seluruh negara semalam,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Secara kumulatif ujarnya lagi, sejak 1 Disember tahun lalu, seramai 506,893 individu telah pun selesai melakukan ujian mandatori itu yang melibatkan penyertaan sejumlah 26,231 majikan.
 
Daripada jumlah tersebut ujarnya, 8,548 pekerja warga asing yang disahkan positif wabak maut berkenaan, manakala selebihnya iaitu seramai 498,345 orang lagi adalah negatif.
 
Sebanyak 1,489 klinik terlibat dalam program khas itu selaras arahan kerajaan mewajibkan pekerja asing menjalani ujian dengan kos saringan perlu ditanggung majikan masing-masing.

Mulai 1 Februari lepas, saringan dibuat Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) itu meliputi seluruh negara berbanding empat negeri dan dua Wilayah Persekutuan sejak 1 Disember lalu.

Keperluan ujian ini diwajibkan oleh kerajaan menerusi Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 dengan pematuhan dipantau oleh Kementerian Sumber Manusia.

Ia menyasarkan lebih 500,000 pekerja asing akan disaring Perkeso menjelang tempoh akhir yang ditetapkan pada 28 Februari ini kepada semua majikan berdaftar di seluruh negara.

Majikan turut diberi amaran bahawa kegagalan berbuat demikian boleh menyebabkan Pas Lawatan Kerja Sementara untuk pekerja mereka tidak akan diperbaharui Jabatan Imigresen.

Dalam pada itu Ismail Sabri berkata, Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan (CIDB) turut membuat pemeriksaan 41 tapak binaan yang beroperasi di seluruh negara semalam.

“Hanya satu tapak yang didapati anggota penguat kuasa agensi itu sebagai tidak mematuhi peraturan dan diarahkan tutup serta merta, manakala yang lain tiada masalah,” katanya.

Sejak 20 April lalu, sejumlah 8,937 tapak binaan di negara ini telah pun diperiksa oleh CIDB bagi mengekang penularan wabak Covid-19 dalam kalangan pekerja di kawasan berkenaan. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya