Pekerja asing disaring positif naik kepada 66 orang - Utusan Malaysia

Pekerja asing disaring positif naik kepada 66 orang

ISMAIL SABRI YAAKOB
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Tidak sampai sehari mencatatkan kemerosotan, jumlah pekerja warga asing yang disahkan positif setelah menjalani saringan Covid-19 di seluruh negara kembali naik.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, angka direkodkan Kementerian Sumber Manusia ialah 66 orang berbanding hanya 28 orang pada kelmarin.

“Pihak kementerian itu memaklumkan sejumlah 7,139 pekerja warga asing sudah menjalani saringan wajib tersebut di seluruh negara semalam,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Secara kumulatif ujarnya lagi, sejak 1 Disember tahun lalu, seramai 319,762 individu telah pun selesai melakukan ujian mandatori itu yang melibatkan penyertaan sejumlah 13,897 majikan.

Daripada jumlah tersebut ujarnya, cuma 6,165 pekerja warga asing yang disahkan positif wabak maut berkenaan, manakala selebihnya iaitu seramai 313,597 orang lagi adalah negatif.

Sebanyak 1,298 klinik terlibat dalam program khas itu selaras arahan kerajaan mewajibkan pekerja asing menjalani ujian dengan kos saringan perlu ditanggung majikan masing-masing.

Mulai 1 Februari, ujian dilaksanakan oleh Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) itu turut meliputi seluruh negara berbanding empat negeri dan dua Wilayah Persekutuan sebelumnya.

Keperluan saringan ini diwajibkan oleh kerajaan menerusi Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 dengan pematuhan dipantau oleh Kementerian Sumber Manusia.

Proses saringan tersebut, hanya menggunakan kaedah RTK Antigen yang diluluskan oleh Kementerian Kesihatan dengan kos kit ujian tersebut dibiayai sepenuhnya pihak Perkeso.

Kementerian Sumber Manusia menetapkan tempoh akhir sehingga 28 Februari ini kepada semua majikan di seluruh negara melakukan saringan untuk pekerja asing digajikan mereka.

Majikan turut diberi amaran bahawa kegagalan berbuat demikian boleh menyebabkan Pas Lawatan Kerja Sementara untuk pekerja mereka tidak akan diperbaharui Jabatan Imigresen. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN