PUTRAJAYA: Bilangan pekerja warga asing yang disahkan positif setelah menjalani saringan wajib Covid-19 di seluruh negara semalam, kembali naik setelah catat penurunan sebelumnya.
Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, Kementerian Sumber Manusia semalam mendapati 52 orang direkodkan berbanding 27 individu, kelmarin.
“Pihak kementerian itu memaklumkan sejumlah 13,998 pekerja warga asing sudah menjalani saringan wajib tersebut di seluruh negara semalam,” katanya menerusi kenyataan hari ini.
Secara kumulatif ujarnya lagi, sejak 1 Disember tahun lalu, seramai 426,923 individu telah pun selesai melakukan ujian mandatori itu yang melibatkan penyertaan sejumlah 20,752 majikan.
Daripada jumlah tersebut ujarnya, cuma 7,778 pekerja warga asing yang disahkan positif wabak maut berkenaan, manakala selebihnya iaitu seramai 419,145 orang lagi adalah negatif.
Sebanyak 1,449 klinik terlibat dalam program khas itu selaras arahan kerajaan mewajibkan pekerja asing menjalani ujian dengan kos saringan perlu ditanggung majikan masing-masing.
Mulai 1 Februari lalu, ujian dilaksanakan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) itu turut meliputi seluruh negara berbanding empat negeri dan dua Wilayah Persekutuan sebelumnya.
Keperluan saringan ini diwajibkan oleh kerajaan menerusi Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 dengan pematuhan dipantau oleh Kementerian Sumber Manusia.
Kementerian itu menyasarkan lebih 500,000 pekerja asing akan disaring menjelang tempoh akhir yang ditetapkan pada 28 Februari ini kepada semua majikan berdaftar di seluruh negara.
Majikan turut diberi amaran bahawa kegagalan berbuat demikian boleh menyebabkan Pas Lawatan Kerja Sementara untuk pekerja mereka tidak akan diperbaharui Jabatan Imigresen.
Proses saringan tersebut, hanya menggunakan kaedah RTK Antigen yang diluluskan oleh Kementerian Kesihatan dengan kos kit ujian tersebut dibiayai sepenuhnya pihak Perkeso.
Dalam pada itu, Ismail Sabri berkata, Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan (CIDB) turut ada membuat dua pemeriksaan tapak binaan yang beroperasi di seluruh negara semalam.
“Ia mematuhi peraturan ditetapkan dan sejak 20 April tahun lalu, sejumlah 8,814 tapak binaan di negara ini telah pun diperiksa oleh anggota penguat kuasa agensi tersebut,” katanya lagi. -UTUSAN ONLINE