KUALA TERENGGANU: Bomba terpaksa memecahkan pintu sebuah kedai makan di Kampung Tiung di sini bagi memadamkan kebakaran membabitkan premis yang terletak di aras bawah di bangunan empat tingkat itu hari ini.
Dalam kejadian kira-kira pukul 8.30 pagi itu, bagaimanapun tiada kemalangan jiwa dilaporkan.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Jalan Kota, Abdullah Zawawi Mohamed berkata, kebakaran yang berpunca di bahagian dapur menyebabkan premis tersebut musnah 90 peratus.
Katanya, seramai 22 anggota bersama satu jentera dari BBP Jalan Kota dan Kuala Terengganu dikejarkan ke lokasi kejadian sebaik menerima panggilan kecemasan.
“Setibanya di lokasi kejadian, api sudah marak dengan kepulan asap hitam kerana kebanyakan barangan dalam kedai merupakan barang plastik.
“Api berjaya dipadamkan sepenuhnya pada pukul 9.15 pagi dan kita dapat mengawal kebakaran daripada merebak ke premis bersebelahan di samping ke seluruh bangunan,” katanya kepada pemberita.
Menurut Abdullah Zawawi, pihaknya turut bertindak pantas dengan mengeluarkan beberapa tong gas dalam kedai terbabit bagi mengelak kejadian tidak diingini.
Katanya, hasil pemeriksaan yang dilakukan beberapa kali mendapati tingkat atas premis itu selamat untuk diduduki, bagaimanapun punca kejadian dan jumlah kerugian masih dalam siasatan.- UTUSAN ONLINE