SHAH ALAM: Siasatan terhadap aplikasi ‘Sugarbook’ tidak akan terhenti walaupun permohonan reman terhadap lelaki terbabit ditolak mahkamah.
Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani berkata, pihaknya masih menjalankan siasatan terperinci berhubung perkara berkenaan.
“Kita akan teruskan siasat dan mengumpul keterangan yang berkaitan untuk melengkapkan siasatan.
“Apabila lengkap, kita kemudian akan majukan kepada Peguam Negara (Jabatan Peguam Negara) bagi tindakan susulan kelak,” katanya ringkas ketika ditemui selepas meninjau pelaksanaan sekatan jalan raya di Setia Alam di sini hari ini.
Terdahulu, pengasas aplikasi Sugarbook bebas selepas mahkamah menolak permohonan reman terhadap lelaki warga tempatan berusia 34 tahun bagi membantu siasatan kes berkenaan.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Datuk Fadzil Ahmat memaklumkan penangkapan suspek beralamat di Pulau Pinang itu dilakukan pukul 4.30 petang semalam di pekarangan sebuah kondominium di Kuala Lumpur.
Setakat ini, sebanyak 74 laporan polis diterima di seluruh negara berhubung kes itu dan kes disiasat mengikut Seksyen 505 (b), Seksyen 372 (1) (d) / 372 B Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
Baru-baru ini media melaporkan Malaysia diletakkan pada kedudukan ketiga tertinggi di Asia di belakang India dan Indonesia bagi negara yang mempunyai bilangan ‘sugar daddy’ paling ramai melalui aplikasi Sugarbook.
Aplikasi berkenaan menyatakan kebanyakan ‘sugar baby’ dari Malaysia terdiri daripada pelajar institut pengajian tinggi (IPT). -UTUSAN ONLINE