PdPR: Ibu bapa cari tok imam - Utusan Malaysia

PdPR: Ibu bapa cari tok imam

ANTARA pelanggan yang mendapatkan khidmat Syeikh Syairder Syamzarey (kanan). – UTUSAN /YATIMIN ABDULLAH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PASIR MAS: Sejak sesi persekolahan tahun ini bermula, Imam Tua Masjid Ar-Rahman Tok Uban, di sini sering ‘dicari’ ibu bapa yang memerlukan komputer riba terpakai untuk kegunaan anak-anak bagi mengikuti sesi Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR).

Ini kerana Imam Tua tersebut, Syeikh Kyairder Syamzarey Wan Idris, 40, juga seorang pakar teknologi maklumat (IT) dan tauke menjual komputer riba terpakai yang mempunyai Ijazah Sarjana Muda Sains Komputer dari Universiti Teknologi Malaysia (UTM).

Malah sebelum menjadi imam, anak kelahiran Kampung Rasal, Tok Uban itu pernah bergelar usahawan komputer terkenal di Tanah Merah, Kelantan selain memiliki sebuah kafe siber untuk kemudahan masyarakat setempat.

Ketika ditemui Utusan Malaysia baru-baru ini, Syeikh Kyairder Syamzarey memberitahu, beliau memilih menutup perniagaan demi memberi tumpuan terhadap tanggungjawab lebih besar iaitu sebagai seorang imam.

“Keputusan itu selaras dengan permintaan arwah bapa, Wan Idris Wan Yusoff yang mahukan saya menyambung legasinya sebagai imam kampung,” katanya.

Minat Syeikh Kyairder Syam­zarey terhadap bidang sains komputer bagaimanapun tidak padam dan kini beliau mengambil inisiatif menawarkan perkhidmatan membaik pulih dan menjual komputer riba terpakai kepada penduduk.

Menariknya, Imam Tua itu mengenakan caj jauh lebih murah untuk setiap perkhidmatan atau produk yang dijual tetapi mempunyai kualiti setara de­ngan kedai-kedai komputer lain.

“Walaupun berstatus terpakai, komputer riba yang saya jual mempunyai prestasi terbaik kerana merupakan produk berjenama, malah alat gantinya masih boleh dibeli dengan mudah,” katanya.

Syeikh Kyairder Syamzarey memberitahu, kebanyakan stok komputer riba terpakai dijualnya datang dari luar negara seperti Amerika Syarikat, Korea Selatan, Jepun dan Singapura dengan harga permulaan serendah RM890.

“Dalam urusan jual beli ini, saya lebih selesa menggunakan kaedah mendidik pelanggan iaitu mendapatkan barang mengikut kemampuan.

“Hasrat saya satu, agar anak-anak khususnya di kawasan luar bandar tidak ketinggalan dalam pelajaran,” ujarnya.

Syeikh Kyairder Syamzarey turut mendedahkan, ada dalam kalangan ibu bapa yang berpendapatan rendah sanggup mengemukakan permohonan membeli kumpter riba secara ansuran untuk kegunaan PdPR.

“Sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang bermula pada 16 Januari lalu harga seunit komputer riba yang baharu naik tiba-tiba sehingga RM300 .

“Situasi itu menyebabkan pengguna tidak mampu dan mereka mula beralih kepada penggunaan komputer riba terpakai untuk PdPR anak-anak,” katanya. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya