PdPR: Annur Fakhira beralah demi enam adik - Utusan Malaysia

PdPR: Annur Fakhira beralah demi enam adik

ANNUR Fakhira Mohd. Abdullah (dua dari kiri) meriba salah seorang adiknya sambil menggunakan telefon pintar ibu mereka bagi mengikuti PdPR bersama adik-beradik lain di PPR Melana Indah, Tampoi, Johor.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Seorang calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2021, Annur Fakhira Mohd. Abdullah, 17, terpaksa beralah dengan enam adik-beradiknya yang lain supaya dapat mengikuti kaedah pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR).

Menurut anak sulung itu, mereka tujuh beradik terpaksa menggunakan dua telefon pintar milik ibu bapa bagi mengikuti kelas atas talian secara bergilir-gilir.

Katanya, tiada kemudahan mencukupi bagi mengikuti PdPR itu menyebabkan dia terlepas beberapa kelas dalam talian, namun, itu adalah pengorbanan yang terpaksa dilakukan demi kepentingan adik-beradik yang lain.

“Tidak dinafikan saya rasa terbeban kerana tidak mempunyai kemudahan secukupnya bagi mengikuti kelas secara atas talian. Rasa rugi kalau tertinggal, lebih-lebih lagi bagi subjek yang sukar, tambahan, saya perlu menduduki SPM pada tahun ini.

“Tapi hendak buat macam mana, adik-adik juga perlu belajar. Jadi, saya tak boleh nak pentingkan diri sendiri sahaja kerana pembelajaran di peringkat awal juga penting bagi meningkatkan kefahaman mereka.

“Oleh itu, saya terpaksa beralah. Saya hanya dapat mengikuti dua hingga tiga kelas dalam talian sahaja untuk seminggu, itu pun melibatkan subjek yang sukar dikuasai,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.  

Selain Annur Fakhira, enam adik-beradiknya yang mengikuti PdPR ialah Mohd. Daniel Ashraf, 16; Annur Firzana Aliya, 15; Qistina Balqish, 13; Qistina Nabella,12; Mohd. Irfan, 10 dan Mohd. Iman Ashraf, 7. 

Katanya, selain tidak mempunyai peranti elektronik mencukupi, masalah capaian internet di kawasan perumahan di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Melana Indah, Tampoi dan pelan data internet tidak mencukupi juga menjejaskan proses PdPR.  

Bagaimanapun, katanya, kekurangan itu tidak mematahkan semangatnya untuk mengulang kaji pelajaran bagi mengejar cita-cita menjadi seorang guru apabila dewasa kelak. 

“Saya kena merancang masa sebaiknya bagi memastikan kelas dalam talian tidak bertindih dengan adik-beradik yang lain manakala tugasan yang diberikan cikgu diselesaikan pada waktu malam.

“Ada juga cikgu menegur saya kerana tidak mengikuti kelas dalam taliannya beberapa kali namun saya tidak ada pilihan lain tetapi ada juga cikgu yang memahami masalah yang saya lalui,” ujarnya.  -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya