Patuh SOP, hargai 'kelonggaran' diberi kerajaan - Utusan Malaysia

Patuh SOP, hargai ‘kelonggaran’ diberi kerajaan

ALEXANDER NANTA LINGGI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Rakyat perlu menghargai kelonggaran yang diberi kerajaan selepas 17 sektor perniagaan peruncitan dibenarkan dibuka dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, semua pihak termasuk pemain industri perlu terus mematuhi prosedur operasi standard (SOP) sebagai tanda sokongan kepada kerajaan dalam memerangi Covid-19 dan berganding bahu memulihkan ekonomi negara.

Katanya, kebenaran beroperasi semula adalah tepat pada masanya dan sangat dinantikan semua pihak.

“Kita harap kebenaran pembukaan semula aktiviti perniagaan ini terutamanya kebenaran dine-in tidak disalahgunakan dan semua premis perniagaan mematuhi sepenuhnya SOP dan peraturan yang ditetapkan.

“Diharapkan pembeli dan pengguna untuk bekerjasama mematuhi SOP seperti sentiasa memakai pelitup muka, mendaftar kehadiran dengan MySejahtera, menjaga penjarakan fizikal, mencuci tangan dengan cecair sanitasi dan mengamalkan langkah-langkah pencegahan Covid-19 untuk memastikan rantaian pandemik dapat diputuskan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Kelmarin, Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan baki sektor peruncitan yang dibenarkan beroperasi semula adalah kedai pakaian, fesyen dan aksesori, kasut, barangan dan perkhidmatan fotografi, barangan terpakai, kedai bunga atau nurseri, kraftangan dan cenderahati serta kedai antik.

Selain itu, kedai alat permainan, permaidani, kedai kandungan kreatif atau peralatan industri kreatif, barangan aktiviti luar, peralatan sukan, barangan rumah dan peralatan dapur, kosmetik, penjagaan kulit dan minyak wangi, kedai tembakau, aksesori kenderaan dan Ar-Rahnu.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN