PATI, sila tampil tanpa takut ditahan - Utusan Malaysia

PATI, sila tampil tanpa takut ditahan

KHAIRY JAMALUDDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Pendatang asing tanpa izin (PATI) diminta tampil bagi menjayakan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan tanpa perlu takut ditahan pihak berkuasa.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin berkata, pihaknya menyedari terdapat kerisauan dalam kalangan komuniti PATI apabila akan ditangkap sekiranya hadir untuk disuntik vaksin.

Khairy yang juga Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan berkata, pihaknya akan bekerjasama dengan pelbagai agensi termasuk pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR).

“Tujuan kami adalah menjayakan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan sekali gus mewujudkan imuniti berkelompok kerana sekiranya golongan ini tidak divaksin, penularan kes seperti yang berlaku pada gelombang kedua yang menyaksikan penularan di depoh tahanan imigresen, lokap dan penjara boleh berlaku.

“Kami akan bekerjasama dengan semua NGO berkaitan bagi meyakinkan PATI untuk tampil bagi membolehkan mereka divaksin tanpa perlu risau ditahan,” katanya, hari ini.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar sempena acara ketibaan bekalan vaksin Covid-19 Pfizer-BioNTech di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) yang diadakan secara maya.

Sidang akhbar terbabit turut disertai Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Adham Baba dan Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr. Wee Ka Siong serta Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah. 

Baru-baru ini, Noor Hisham memaklumkan warga asing termasuk PATI akan menerima suntikan satu dos vaksin Covid-19 yang akan dilaksanakan dalam Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan.

“Suntikan vaksin itu adalah percuma dan usaha itu bagi memastikan terjaminnya rakyat Malaysia daripada pandemik Covid-19,” katanya. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN