Pasangan 'tinggal' bersama monyet liar terima rumah PUNB - Utusan Malaysia

Pasangan ‘tinggal’ bersama monyet liar terima rumah PUNB

NOH (kiri) bersama Hamidah (berkerusi roda) di hadapan rumah bantuan PUNB itu di Kampung Bagan Tengkorak,Tanjong Karang, Selangor, hari ini. UTUSAN/ISKANDAR SHAH MOHAMED
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TANJONG KARANG: Keperitan pasangan suami isteri warga emas yang menghuni kediaman usang bersama monyet liar berakhir selepas menerima rumah bantuan Perbadanan Usahawan Nasional Bhd. (PUNB) di Kampung Bagan Tengkorak di sini, hari ini.

Mohamad Yusof Sedik, 68, dan isterinya, Hamidah Ahmed, 61, sebelum ini terpaksa menetap di rumah pusaka keluarga yang kayunya sudah reput dan bumbung bocor selain kerap dimasuki monyet sejak 18 tahun lalu.

Hamidah yang juga Orang Kurang Upaya (OKU) berkata, dia amat bersyukur kerana kini dapat berteduh di kediaman lebih selesa dan selamat.

“Kami selama ini sentiasa resah sekiranya cuaca hujan kerana bumbung bocor dan dinding kayu rumah kebanyakannya reput.

“Selain itu, banyak monyet liar dari kawasan berhampiran kerap memasuki rumah dan membuang najis,” katanya ketika ditemui pada majlis penyerahan Program Rumah Baru Asnaf PUNB itu yang disempurnakan Pengerusi PUNB, Tan Sri Noh Omar.

Dalam pada itu, suri rumah yang kudung kaki kanan dan buta mata kiri akibat penyakit kencing manis menyifatkan  dia menghargai sumbangan PUNB itu yang dianggap sebagai ‘hadiah’ paling bermakna.

“Suami saya hanya bekerja sebagai peraih ikan keli dan tidak mampu membaiki rumah kerana tiada kewangan kukuh.

“Alhamdulilah, rumah baru hasil sumbangan PUNB di atas tanah sama ini berjaya disiapkan dalam tempoh hanya tiga minggu.

“Malah, rumah baharu berstruktur batu dan dua bilik ini memudahkan urusann untuk bergerak lebih bebas kerana saya berkerusi roda sejak 10 tahun lalu,” katanya yang menerima bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM250 sebulan.

Sementara itu, Noh yang juga Ahli Parlimen Tanjong Karang berkata, pihaknya telah mengenal pasti enam rumah baru dan dua rumah untuk dibaik pulih dalam kawasan parlimen tersebut.

“Senarai semua penerima ini diperoleh menerusi Lembaga Zakat Selangor (LZS) yang terdiri daripada asnaf dan layak menerima bantuan berkenaan.

“Semua kerja ini melibatkan kos peruntukan berjumlah RM30,000 bagi pembinaan setiap rumah baharu manakala RM10,000 untuk membaik pulih,” katanya. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya