NS ikut SOP Tahun Baharu Cina MKN - Utusan Malaysia

NS ikut SOP Tahun Baharu Cina MKN

AMINUDDIN Harun (tengah) menerima sumbangan berupa limau buah mandarin daripada Ketua Pegawai Eksekutif AEON Co (M) Bhd. Shafie Shamsudin sambil diperhatikan oleh Pengerusi AEON Co. (M) Bhd., Datuk Iskandar Sarudin (kanan) di Seremban hari ini.-UTUSAN/AFIFI HAFIZ MOHD NOR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Kerajaan Negeri Sembilan akan mengikuti prosedur operasi standard (SOP) seperti yang ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN) untuk Sambutan Tahun Baharu Cina yang akan diraikan minggu hadapan.

Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, kerajaan negeri juga tidak memohon untuk mengadakan SOP berasingan dan mematuhi SOP di peringkat Persekutuan. 

“Apa juga yang diumumkan di peringkat Persekutuan itu ada enakmennya dan kita tidak mahu nanti ada masalah. Kita kalau nak buat yang baharu kita kena mohon kepada pihak Persekutuan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menerima sumbangan daripada AEON.Co (M) Bhd. dan Matrix Concept kepada 3,000 keluarga masyarakat Tiong Hua di negeri ini pada majlis di Kediaman Rasmi Menteri Besar di sini hari ini.

Dalam pada itu, Aminuddin berharap masyarakat Cina dapat mematuhi SOP yang telah ditetapkan oleh pihak MKN tersebut.

“Saya berharap semua dapat dengan mematuhi SOP ini supaya akhirnya kita dapat melandaikan lengkuk Covid-19 yang ada,” tambahnya.

Sementara itu, kata beliau, sumbangan sempena Tahun Baharu Cina 2021 berkenaan merupakan di bawah program tanggungjawab sosial korporat (CSR) kedua-dua syarikat tersebut.

“Syarikat Matrix Concept menyumbangkan barangan keperluan untuk sambutan Tahun Baharu Cina bernilau RM82,500 manakala syarikat AEON Co. (M) Bhd. pula menyumbang berupa 2,000 kotak limau mandarin.

“Dengan adanya sumbangan ini dapat meringankan beban golongan yang terkesan semasa penularan pandemik Covid-19 ketika ini,” katanya. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN