Nombor plat JUN kutip RM3.24 juta - Utusan Malaysia

Nombor plat JUN kutip RM3.24 juta

AZMIL Zainal Abidin (tengah) memegang plak simbolik sasaran kutipan bidaan bagi nombor pendaftaran siri JUN yang mencatat kutipan RM3.24 juta di Johor Bahru, Johor.- GAMBAR IHSAN JPJ JOHOR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) negeri berjaya mencapai sasaran bagi bidaan nombor pendaftaran siri JUN dengan merekodkan kutipan hasil sebanyak RM3.24 juta dalam tempoh lima hari sahaja.

Pengarah JPJ Johor, Azmil Zainal Adnan berkata, bidaan nombor pendaftaran siri JUN yang dibuka dari 13 hingga 17 Februari lalu menerusi sistem JPJeBID menarik jumlah pembida seramai 3,955 orang.

Katanya, jumlah kutipan tersebut melepasi sasaran awal pihaknya yang berjumlah RM2.5 juta bagi nombor pendaftaran berkenaan.

“Pembidaan ini dibuat selama lima hari mulai 13 hingga 17 Februari menerusi sistem bidaan nombor pendaftaran atas talian JPJeBID.

“Bidaan nombor tertinggi bagi siri ini ialah JUN 9 iaitu sebanyak RM100,000 manakala kutipan kedua tertinggi adalah JUN 11 dengan jumlah bidaan sebanyak RM99,000,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Azmil berkata, kutipan itu diikuti dengan nombor pendaftaran JUN 6 sebanyak RM98,000 manakala nombor pendaftaran yang mencatatkan jumlah pembida tertinggi bagi siri JUN adalah JUN 4101 yang dikaitkan dengan nama ‘Junaidi’.

Menurutnya, sebanyak 21 siri nombor pendaftaran telah dibuka JPJ Johor sejak 21 Ogos 2019 melalui sistem JPJeBID dan berjaya mengutip hasil sebanyak RM28,088,686.

Bidaan itu terbuka kepada semua warganegara Malaysia, penduduk tetap, jabatan kerajaan dan syarikat berdaftar di negara ini.

Mana-mana nombor yang berjaya dibida akan diberi tempoh 12 bulan untuk didaftarkan pada sebuah kenderaan dengan pendaftaran boleh dibuat di mana-mana pejabat JPJ.

Kaedah pembayaran hanya melibatkan penggunaan kad debit atau kad kredit tempatan bagi memudahkan pembida berbanding pembayaran secara manual.

Sejak sistem bidaan atas talian diperkenalkan pada 21 Ogos 2019 menerusi nombor pendaftaran JTR, JPJ Johor telah mengutip RM24.8 juta.- UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya