DUNGUN: Idea kreatif seorang nelayan dari Kampung Seberang Pintasan di sini mencipta bubu gergasi membuahkan hasil selepas berjaya menaikkan seekor ikan kerapu kertang seberat hampir 100 kilogram.
Bahiyuddin Awang Harun, 35, berkata, ikan kerapu bersaiz gergasi itu ditangkap kira-kira 45 batu nautika dari perairan Dungun, petang semalam.
Katanya, sepanjang 19 tahun bergelumang dengan laut, ini merupakan kali pertama dia menerima habuan kerapu gergasi berkenaan yang harganya dianggarkan antara RM35 hingga RM50 sekilogram.
“Saya bersama dua pekerja mengambil masa hampir sejam untuk menaikkan bubu dengan menggunakan mesin pengangkat kerana beban ikan yang berat di samping keadaan arus yang kuat.
“Saya juga terpaksa memotong bubu berkenaan kerana saiz ikan yang besar menyebabkan kerapu tidak dapat dikeluarkan melalui pintu disediakan,” katanya ketika ditemui di jeti pendaratan ikan Kompleks Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) di sini hari ini.
Bahiyuddin berkata, ikan kerapu gergasi itu sering diburu dan mendapat permintaan tinggi terutama dalam kalangan pengusaha restoran makanan laut.
Katanya, buat masa ini harga tangkapan itu belum ditentukan tetapi nilainya dijangka mencecah sehingga RM3,000, dan dia masih mencari mana-mana pengusaha restoran yang berminat untuk membeli ikan tersebut.
Bapa kepada dua anak itu mula menghasilkan bubu bersaiz 2.44 meter panjang dan 1.83 meter lebar menggunakan kayu sungkai, rotan dan dawai pada November tahun lalu untuk memastikan hasil tangkapan lebih lumayan.
Produk inovasi itu dikatakan mampu menangani masalah hasil tangkapan yang berkurangan terutama pada musim tengkujuh lalu kerana kekangan turun ke laut disebabkan keadaan cuaca dan ombak. -UTUSAN ONLINE