Nasi bajet RM2: Boleh bayar atau ambil percuma - Utusan Malaysia

Nasi bajet RM2: Boleh bayar atau ambil percuma

NORDIN Mat (kiri) melayani pelanggan yang datang untuk membeli Nasi Bajet berharga RM2 di MAEPS Serdang semalam
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Demi membantu mereka yang kesulitan kewangan sehingga tidak mampu makan tengah hari, pengusaha kedai makan Goat2Go Farm di Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (MAEPS), Serdang, dekat sini mengambil inisiatif menjual nasi bajet berharga RM2.

Menurut pengusahanya, Nordin Mat, jika harga ber­kenaan juga tidak mampu dibayar, mereka boleh mengambilnya secara percuma.

Katanya, dengan harga RM2, mereka boleh menikmati hidangan lengkap tengah hari berlaukkan ayam goreng berserta sayur.

Nordin berkata, walaupun tidak mendatangkan keuntungan, usaha tersebut dianggap sebagai satu bentuk amal jariah.

Apatah lagi, katanya, lokasi kedainya berhampiran Universti Putra Malaysia (UPM) dan ia boleh membantu pelajar yang berada di kampus ketika ini ekoran pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Kita juga mengalu-alukan petugas barisan hadapan yang bertugas di Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 Berisiko Rendah (PKRC) MAEPS untuk datang membeli hidangan tengah hari di sini dengan harga murah ini,” katanya kepada Utusan Malaysia semalam.

Nordin memberitahu, pada hari pertama program ini, sebanyak 300 bungkus nasi bajet terjual dalam tempoh dua jam sahaja.

Bagaimanapun, katanya, pihaknya menyediakan 50 bungkus untuk diberikan percuma kepada 50 pelajar yang datang walaupun mereka mahu membeli.

Ekoran sambutan menggalakkan itu, pihaknya akan menambah jualan kepada 500 bungkus esok dan akan dilaksanakan setiap hari.

“Selain nasi bajet RM2, kita juga menyediakan menu lain nasi bajet RM3 iaitu berlaukkan ikan dan sayur selain berlaukkan daging salai berharga RM5,” katanya.

Nordin yang mengusahakan kedai makan itu sejak 2017 turut terkesan dengan pelaksanaan PKP memandangkan lokasi restorannya adalah tumpuan pelancong.

Memandangkan sektor pelancongan masih belum dibuka, katanya, dia terpaksa mencari inisiatif lain bagi menampung kos operasi kedai agar boleh terus bertahan ketika tempoh pandemik Covid-19.

“Oleh itu saya mengalu-alukan mereka yang tinggal berdekatan untuk singgah di kedai kami untuk menikmati makan tengah hari dengan harga murah bermula pukul 11 pagi hingga 6 petang.

“Mana-mana pihak yang mahu memberikan sumbangan infaq melalui tajaan nasi bajet kepada mereka yang memerlukan boleh hubungi di talian 012-3791239,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN